Petronas lebih fleksibel perkukuh PRefChem selepas ambil alih

Petronas lebih fleksibel perkukuh PRefChem selepas ambil alih

PETRONAS mengumumkan pengambilalihan pegangan ekuiti 50 ekuiti milik Aramco dalam PRefChem baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Petroleum Nasional Berhad (Petronas) mengambil alih sepenuhnya Pengerang Refining and Petrochemical (PRefChem) daripada Saudi Aramco dijangka memperkukuh kecekapan operasi kumpulan itu dengan menghapuskan kerumitan yang lazimnya dikaitkan dengan struktur usaha sama (JV) 50:50.

Penganalisis BIMB Securities Sdn. Bhd., Nurzulaikha Azali berkata, struktur JV 50:50 biasanya memerlukan persetujuan kedua-dua pihak pemegang saham dalam keputusan strategik, operasi dan peruntukan modal utama.

Kataya, pemilikan tunggal ini dijangka  memberi lebih fleksibiliti kepada Petronas untuk melaksanakan inisiatif penambahbaikan operasi, memperkemas proses membuat keputusan serta mempercepatkan strategi pemulihan bagi aset yang kurang berprestasi. 

“Pengumuman ini menandakan berakhirnya struktur perkongsian pegangan sama rata yang mengawal selia PRefChem sejak penubuhannya di bawah projek RAPID dalam Kompleks Bersepadu Pengerang.

“Namun begitu, kami melihat transaksi ini secara positif daripada perspektif lebih luas Kumpulan Petronas. Ini amat relevan memandangkan sejarah gangguan operasi dan cabaran kebolehpercayaan PRefChem, khususnya dalam segmen penapisan,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Petronas sebelum ini mengumumkan pemeteraian perjanjian bagi pengambilalihan pegangan ekuiti 50 ekuiti milik Aramco dalam PRefChem, sekali gus menjadikan syarikat minyak dan gas nasional itu pemilik penuh kompleks penapisan dan petrokimia bersepadu berkenaan.

Setakat ini, tiada butiran lanjut didedahkan berkaitan nilai transaksi, penilaian aset atau potensi kesan terhadap Petroliam Nasional Chemicals Group Bhd. (PCHEM).

Bagaimanapun, Pertronas memaklumkan bahawa pengaturan bekalan minyak mentah sedia ada di bawah perjanjian komersial semasa akan kekal tidak berubah.

Nurzulaikha berkata, Semakan turut mengesahkan bahawa pegangan yang diambil alih daripada Aramco itu akan dipegang secara langsung di peringkat Petronas dan bukannya disuntik ke dalam PCHEM.

“Susulan pengesahan tersebut, kami berpandangan perkembangan ini adalah neutral kepada PCHEM buat masa ini. 

“Dari sudut operasi, kami menjangkakan kesinambungan perniagaan dalam segmen petrokimia dengan operasi loji, aliran produk dan komitmen pelanggan sedia ada kekal sebahagian besarnya tidak berubah sementara menunggu maklumat lanjut daripada pihak pengurusan,” ujarnya.

Beliau mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap PCHEM dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM6.08 sesaham.

“Antara faktor yang akan terus dipantau pada separuh kedua 2026 termasuk pelaksanaan semula operasi PPC, tahap pemulihan margin dalam segmen olefin dan derivatif (O&D) serta kemampuan syarikat mengekalkan sokongan pendapatan daripada harga urea, etilena dan polimer yang masih tinggi di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN