MUGELLO: Marc Marquez akhirnya disahkan kembali beraksi di Grand Prix (GP) Itali hujung minggu ini selepas terlepas dua perlumbaan akibat kecederaan serius yang dialaminya di Le Mans awal bulan ini.
Kepulangan juara dunia MotoGP itu hadir tepat pada masanya ketika Ducati sedang bergelut untuk mengembalikan dominasi sebenar mereka musim ini.
Marquez sebelum ini mengalami patah kaki kanan selepas terjatuh ketika perlumbaan pecut di Le Mans pada 8 Mei lalu sebelum menjalani pembedahan selain turut melakukan prosedur membuang skru longgar pada bahu kanannya yang mengganggu saraf ketika menunggang.
Akibat kecederaan tersebut, pelumba Sepanyol itu terpaksa diketepikan daripada GP Catalunya termasuk ujian rasmi pasca perlumbaan di Barcelona.
Namun kepulangan Marquez ke Mugello kini memberi suntikan besar buat Ducati yang mahu memastikan dua jentera kilang mereka kembali berada di grid pada perlumbaan laman sendiri.
Lebih menarik, Ducati sebenarnya masih belum benar-benar kembali dominan walaupun Francesco Bagnaia menamatkan kemarau podium pasukan di Catalunya selepas mewarisi tempat ketiga susulan penalti dikenakan terhadap Joan Mir.
Hakikatnya, kemenangan terakhir sebenar Ducati masih lagi menerusi Bagnaia di Jepun tahun lalu manakala Marquez pula hanya sempat menghadiahkan dua kemenangan perlumbaan pecut sebelum kecederaan memusnahkan momentumnya.
“Marc akan menjalani pemeriksaan perubatan terakhir pada Khamis tetapi kami menjangkakan dia bersedia untuk kembali berlumba di Mugello,” menurut pengesahan Ducati menerusi media sosial rasmi pasukan itu.
Kepulangan Marquez juga hadir ketika kedudukannya dalam perebutan kejuaraan dunia semakin terancam apabila kini ketinggalan 85 mata di belakang pendahulu, Marco Bezzecchi yang menamatkan aksi Catalunya di tempat keempat. – AGENSI/UTUSAN










