PUTRAJAYA: Tan Sri Abu Zahar Ujang mendakwa media tidak memberikan laporan menyeluruh berhubung isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada sidang akhbarnya, 5 Januari lalu.
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) itu berkata, keadaan itu sekali gus mengundang pelbagai salah tanggapan dalam kalangan masyarakat.
“Kenyataan media penuh 13 muka surat yang mengandungi seluruh kenyataan saya telah diedarkan pada 5 Januari lalu, namun saya dapati ia tidak dilaporkan secara menyeluruh.
“Terdapat pelbagai isu berkaitan ‘alegasi salah laku’ terhadap Azam yang telah diberi pandangan dan pendapat oleh LPPR tetapi itupun tidak disentuh dan dilaporkan media.
“Apatah lagi, video berkaitan sidang media yang tular cuma memaparkan sebahagian kecil kenyataan saya sahaja,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Abu Zahar hari ini tampil menjelaskan kontroversi berhubung kenyataannya mengenai dakwaan salah laku Azam pada 5 Januari lalu selain kenyataan bercanggah dikeluarkan enam anggota LPPR pada 8 Januari lalu.
Katanya, sebagai Pengerusi LPPR, beliau sedar bahawa LPPR tidak mempunyai kuasa melakukan siasatan sendiri berkaitan apa-apa salah laku jenayah terhadap mana-mana pegawai SPRM.
Abu Zahar berkata, LPPR cuma mempunyai kuasa untuk memberi pandangan dan cadangan tentang cara siasatan wajar dilakukan dalam keadaan-keadaan tertentu selari dengan peruntukan Seksyen 13(5)(a) Akta 694.










