'Abang Viva', wartawan Utusan terima anugerah bomba

‘Abang Viva’, wartawan Utusan terima anugerah bomba

ABANG Viva menerima sijil penghargaan bomba pada Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2022 di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dedikasi dan semangat luar biasa ‘Abang Viva’ mendapat perhatian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengiktiraf sumbangannya dalam membantu mangsa-mangsa banjir.

Abang Viva yang nama sebenarnya Azwan Omar hari ini diberi sijil penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersempena Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2022 di Ibu Pejabat JBPM, di sini hari ini.

Azwan merupakan salah seorang daripada 36 individu yang diberi penghargaan pada majlis tersebut yang diangkat sebagai ‘wira’ susulan pengorbanannya yang sanggup menghulurkan bantuan di beberapa negeri dilanda bencana banjir akhir tahun lalu.

Sebelum ini, gelaran Abang Viva tular di media sosial dan apabila beliau sanggup turun sendiri meredah banjir bagi membantu menyelamatkan mangsa yang terkandas di Shah Alam, Selangor dengan berbekalkan wang RM50 dan sebuah bot yang diikat di atas kereta Perodua Viva dipandunya dari Melaka.

Selain Abang Viva, Wartawan Utusan Malaysia, Maszureen Hadzman antara 15 petugas media yang menerima sijil berkenaan termasuk 10 orang awam, lima Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan enam wakil agensi swasta yang disampaikan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Turut menerima sijil penghargaan dan saguhati adalah Datuk Mohamad Dean Law Abdullah yang turut sama memberi sumbangan dan khidmat kemanusiaan kepada mangsa banjir di beberapa lokasi terjejas di sekitar Selangor, Pahang serta Johor.

Dalam satu kenyataan, JBPM berkata, penyampaian sijil ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada individu-individu terbabit yang banyak membantu serta menyokong kelangsungan JBPM.

“Ada antara penerima sijil ini merupakan kategori orang awam yang sanggup bergadai nyawa demi menyelamatkan  orang lain,” katanya. 

Jelas kenyataan itu, sebanyak lima PBS turut diberi sijil penghargaan atas sumbangan mereka dalam operasi menyelamat mangsa banjir di lokaliti masing-masing pada Disember tahun lalu.

Selain itu, turut dilancarkan dalam majlis tersebut adalah Skuad Kebajikan JBPM yang bertujuan untuk membantu pegawai dan anggota bomba yang ditimpa musibah dan Dasar Latihan Kebombaan dan Penyelamatan (DLKP) yang berkuatkuasa pada tahun ini bagi menggantikan Dasar Latihan Sumber Manusia 2007 sebagai penambahbaikan dan pindaan kepada sembilan teras Dasar Latihan Sumber Manusia sedia ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.