6 mayat PATI ditemui, seorang selamat berpaut pada pelampung

Enam mayat PATI ditemui, seorang selamat berpaut pada pelampung

MAYAT PATI yang selamat dibawa ke Jeti Nelayan Pontian Besar untuk diserahkan kepada pihak Polis bagi tindakan selanjutnya di Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Enam mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat, manakala seorang dijumpai selamat  dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang di sini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria berkata, semua mayat ditemukan berhampiran lokasi kejadian dengan paling jauh berada di kedudukan 3.5 batu nautika dari situ.

Katanya, mayat pertama dan kedua ditemui kira-kira pukul 1 tengah hari bersama seorang mangsa yang terselamat berusia 21 tahun, diikuti empat lagi mayat pada pukul 2.30 petang dengan semua mereka masih berpakaian lengkap.

“Selain Maritim Malaysia, operasi mencari dan menyelamat turut dibantu oleh Polis Marin Wilayah Selatan yang digerakkan ke lokasi kejadian selepas mengetahui mengenai kejadian tersebut.

“Bot yang digunakan untuk membawa PATI warga Indonesia ke Pontian dipercayai telah tenggelam bersama pelbagai barangan peribadi yang dimiliki oleh mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Pontian, petang ini.

Dalam kejadian pukul 11 malam tadi, bot jenis gentian kaca yang membawa 11 penumpang bersama dua tekong karam dipukul ombak di perairan Pulau Pisang dalam perjalanan dari Batam ke Pontian.

Bagaimanapun enam daripadanya termasuk dua tekong terbabit berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan, manakala seorang mangsa yang kritikal telah dikejarkan ke Hospital  Pontian (HP). 

Tambah Nurul Hizam, seorang mangsa yang ditemukan terselamat bersama mayat migran itu dipercayai berpaut pada pelampung kira-kira 14 jam sebelum ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat tengahari ini.

“Kesemua PATI bertolak dari Pulau Jalor, Batam menuju ke Pontian dengan menggunakan bot fiber berukuran 25 kaki panjang dengan menggunakan 200 kuasa kuda,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Supritenden Mohammad Shofee Tayib berkata, dengan penemuan enam mayat dan seorang yang terselamat, menjadikan keseluruhan mangsa selamat adalah seramai tujuh orang.

”Bagaimanapun, salah seorang mangsa yang terselamat pagi tadi kini dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) disebabkan keadaannya yang semakin kritikal,” jelasnya.

Tambah Mohammad Shofee, mengikut siasatan yang dilakukan, bot yang karam tersebut dikatakan menggunakan jeti nelayan di Api-Api, di sini sebagai tempat pendaratan sebelum diambil oleh transporter.

Katanya, dua tekong berumur lingkungan 30-an itu kini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya