5,200 individu termasuk 76 remaja ditahan Op Tapis Khas - Utusan Malaysia

5,200 individu termasuk 76 remaja ditahan Op Tapis Khas

AYOB KHAN memberi taklimat dalam sidang akhbar Op Tapis Khas di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di ibu negara hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 76 penagih serta tokan bawah umur antara 5,200 orang yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam pelbagai kesalahan dadah melalui Op Tapis Khas di seluruh negara sejak Jumaat hingga Ahad lalu. 

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN di semua kontinjen itu turut merampas 212.6 kilogram dan 1,199.2 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM3.58 juta. 

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi itu, pihaknya memberkas seramai 942 tokan, 2,893 penagih dan 201 individu dikehendaki di 367 sarang penagihan di seluruh negara. 

Menurut beliau, kesemua suspek terdiri daripada 4,987 lelaki dan 213 wanita dan kesemua mereka berusia 13 hingga 60 tahun. 

“Dalam serbuan itu,  kita turut menahan dua penagih berusia 13 tahun selain 129 suspek warga asing.

“Sarang penagihan yang paling banyak diserbu di Selangor iaitu di 69 lokasi diikuti Sabah (57),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, pihaknya merampas sepucuk pistol dan tiga butir peluru; satu laras senapang dan empat butir peluru dan satu laras senapang buatan sendiri. 

Ujar beliau, JSJN turut menyita pelbagai aset sindiket termasuk barang kemas dan pelbagai jenis kenderaan dianggarkan bernilai RM2.39 juta. 

“Nilai rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM5.9 juta.

“Selepas perbincangan bersama Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara, Op Tapis Khas ini akan dilancarkan sebulan sekali di semua kontinjen supaya impan dalam membanteras ancaman dadah lebih berkesan,” ujar beliau. 

Tambah Ayob Khan, JSJN berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka. 

Maklumat boleh disalurkan melalui hotline JSJN di talia. 012-2087222.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya