IPOH: Tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak memberi kesan kepada kestabilan kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana ketiga-tiga ADUN itu hanya bertukar parti dan tidak menarik sokongan kepada kerajaan negeri.
Katanya, kerajaan negeri masih mempunyai kerusi yang mencukupi.
“Tindakan mereka itu tidak ada apa-apa kesan sebab sekarang kita ada 36 kerusi yang menyokong kerajaan sedia ada.
“Tiga ADUN itu mengatakan mereka hanya tukar parti dan tidak menarik sokongan pada kerajaan negeri, jadi ia tidak memberi apa-apa kesan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan projek pecah tanah kerja naik taraf sebahagian Jalan Tambun di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Tambun yang juga Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau telah cuba berhubung dengan Sivasubramaniam dan Paul Yong yang sebelum ini merupakan ahli bersekutu Bersatu untuk mengesahkan mengenai perkara itu namun gagal.
“Saya lihat kerajaan negeri Perak masih utuh dan itu yang paling penting. Saya percaya Menteri Besar bagi fokus pada masalah rakyat dan itu yang kami akan bantu serta beri sokongan penuh kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau.
“Kami yakin bahawa pentadbiran sekarang berjalan dengan amat baik,” katanya.
Tiga wakil rakyat yang menyertai PBM ialah ADUN Buntong, A Sivasubramaniam; ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng.
Ketika ini Saarani memiliki sokongan 36 ADUN dengan BN mempunyai 25 kerusi, Bersatu empat kerusi, Pas tiga kerusi, PBM tiga kerusi dan Bebas satu kerusi.
Terdahulu, Saarani berkata, projek menaiktaraf Jalan Tambun dengan kerjasama antara Majlis Bandaraya Ipoh dan Sunway City Ipoh Sdn Bhd melibatkan kos sebanyak RM16.35 juta.
Katanya, ia bertujuan untuk melancarkan aliran lalu lintas di jalan berkenaan selari dengan pembangunan di Bandar Sunway Ipoh.
“Projek naik taraf merangkumi jarak kira-kira 5.2 kilometer ini bermula dari simpang susur masuk Jalan Persekutuan 240 (Ampang-Jelapang) sehingga ke persimpangan lampu isyarat Taman Perpaduan bermula 1 April lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada September ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE