Olahraga sasar layak final Olimpik  

Olahraga sasar layak final Olimpik  

KARIM IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden baharu Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim memberi bayangan bahawa kepimpinannya mahu menamatkan kemarau hampir lima dekad negara gagal melangkah ke separuh akhir acara olahraga Sukan Olimpik.

Karim berkata, sudah tiba masa sejarah kegagalan itu dipadam dan atlet negara kembali berada dalam kelompok terbaik dunia seperti era Tan Sri Mani Jegathesan dan Ishtiaq Mubarak.

Katanya, beliau mahu membina satu skuad pecut terutamanya dalam acara 4×100 meter (m) yang mampan dan konsisten dan bukan hanya sekadar melengkapkan penyertaan.

“Kalau kita dapat dua pelari bawah 10 saat (s), itu sudah cukup untuk bentuk pasukan 4x100m yang mantap.

“Sasaran kita kali ini adalah final Sukan Olimpik, bukan sekadar penyertaan,” kata Karim kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MA di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), kelmarin.

Sudah hampir lima dekad Malaysia gagal menempatkan wakil olahraga ke peringkat separuh akhir temasya Olimpik, dengan kali terakhir direkodkan Ishtiaq Mubarak pada edisi Montreal 1976 menerusi acara 110m lari berpagar lelaki.

Karim menambah bahawa skuad olahraga negara perlu kembali memiliki mentaliti untuk mara sehingga ke pentas akhir temasya terbesar dunia itu dan bukan sekadar menyertai.

“Kita sudah hampir 50 tahun tak ada satu atlet pun ke separuh akhir. 1968 di Mexico, Tan Sri Mani Jegathesan berjaya sampai separuh akhir, lepas itu 1976 Ishtiaq dalam acara berpagar, juga sampai ke tahap itu.

“Selepas itu kita hilang terus (tiada atlet). Apa yang kita mahu 4x100m kali ini Olimpik akan masuk ke peringkat akhir,” katanya.

Pada AGM kelmarin, Karim kembali memimpin kerusi No. 1 MA bagi penggal 2025–2029 selepas meraih 25 undi sekali gus menewaskan pencabarnya Datuk Mark William Ling Lee Meng (14 undi).

Apa yang lebih mengejutkan, sebelum pemilihan berlangsung mantan presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan menarik diri daripada bertanding mempertahankan jawatan tersebut serta Datuk Wan Hisham Wan Salleh dari Persatuan Olahraga Amatur Terengganu turut mengundur diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN