PETALING JAYA: Kerajaan digesa menguatkuasa semula penggunaan Sistem Pengesanan Automatik (AIS) pada bot pukat tunda bagi membolehkan pihak berkuasa memantau pergerakan mereka dengan lebih berkesan sekali gus mengambil tindakan terhadap sebarang pencerobohan.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Mohd. Faizal Mohd. Zabri berkata, pada 2016, kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi mewajibkan pemasangan sistem AIS kepada semua bot termasuk bot pukat tunda untuk memudahkan pihak berkuasa memantau aktiviti nelayan di laut.
Bagaimanapun, sistem itu tidak digunakan sebaiknya oleh pihak berkuasa untuk memantau pencerobohan ke zon perikanan tradisional nelayan kecil.
“Perkara itu menimbulkan persoalan kepada pengusaha apabila syarat perbaharui lesen bagi bot pukat tunda adalah wajib mempunyai sistem AIS.
“Ini kerana, sistem AIS mampu mengenal pasti sekiranya bot melakukan penangkapan ikan di kawasan yang dibenarkan dan boleh menjadi bahan bukti sekiranya mempunyai pergerakan melibatkan pertindihan sempadan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Semalam akhbar ini melaporkan, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati Jabatan Perikanan (DOF) di Pulau Pinang gagal melakukan tugas penguatkuasaan sewajarnya dalam mengambil tindakan terhadap pencerobohan bot-bot pukat tunda.
Perkara itu hasil siasatan berhubung aduan terhadap DOF Pulau Pinang melibatkan isu kegagalan dalam mengambil tindakan terhadap pencerobohan bot-bot pukat tunda Zon B ke Zon A.
Menurut EAIC, lawatan dan pemeriksaan ke pangkalan penguatkuasaan DOF Pulau Pinang di Batu Maung hanya dilaksanakan sekali dalam tempoh setahun.
Menurut Mohd. Faizal, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dengan menjalankan rondaan sekerap mungkin.
Katanya, tiada alasan pihak berkuasa tidak menjalankan rondaan kerana dahulu telah diperkenalkan sistem AIS bagi memudahkan pemantauan untuk memantau pergerakan bot.
Beliau turut mempersoalkan kelemahan pihak berkuasa dalam memanfaatkan sistem AIS secara efektif, meskipun ia dibangunkan dengan peruntukan yang besar dan mampu memantau pergerakan bot.
“Sistem ini masih dikatakan berfungsi apabila bot nelayan tempatan yang ditahan oleh pihak berkuasa negara jiran dapat dikesan.
“Ini menimbulkan persoalan mengapa ia tidak digunakan apabila berdepan kes pencerobohan dalam negara sendiri,” katanya.
Mingguan Malaysia kelmarin turut mendedahkan, kira-kira 102,746 nelayan pantai yang memiliki 48,440 sampan dan bot kecil berdepan risiko ancaman nyawa setiap hari, berikutan kes pencerobohan bot pukat tunda terus berlaku tanpa ada tindakan penyelesaian konkrit.
Mengikut peraturan, bot pukat tunda tidak boleh memasuki Zon A (kawasan kurang lima batu nautika dari pesisir pantai) termasuk bot nelayan dari negeri lain juga tidak boleh menceroboh sempadan negeri masing-masing.
Dalam pada itu, seorang nelayan yang tidak mahu dikenali mendedahkan, dia pernah diberi ugutan selepas membuat aduan pencerobohan kawasan nelayan kepada pihak berkuasa.
Susulan itu, nelayan kini memilih untuk membuat aduan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berbanding pihak berkuasa kerana kecewa dan hilang kepercayaan terhadap tindakan yang diambil.
“Saya pernah membuat aduan tentang pencerobohan dan pihak berkuasa menghubungi serta melontarkan kata-kata yang kesat kerana kami tidak ada bukti.
“Nelayan-nelayan pantai juga membantu pihak berkuasa dengan cara mengambil video bot-bot tunda yang menceroboh zon untuk tambahkan bukti. Ini sahaja cara yang kami boleh bantu tetapi berlaku sebaliknya,” katanya. – UTUSAN











