PETALING JAYA: Peletakan jawatan Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan menghantar mesej jelas kepada seluruh rakyat bahawa DAP kekal konsisten dalam perjuangan menolak sebarang bentuk rasuah.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, keputusan drastik Setiausaha Agung DAP itu menjadi garis pemisah yang nyata bahawa parti itu tidak akan sekali-kali menyokong sebarang kompromi terhadap kesalahan tatakelola.
Bagaimanapun kata Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu, Pakatan Harapan (PH) secara dasarnya masih kekal mempertahankan Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan politik dan barisan Kabinet berfungsi seperti biasa.
“Kami di DAP sentiasa menghormati dan menjunjung kasih di atas keputusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, peletakan jawatan menteri oleh Setiausaha Agung adalah mesej jelas kepada seluruh rakyat Malaysia bahawasanya DAP kekal konsisten dalam perjuangan menolak sebarang bentuk kleptokrasi, rasuah serta ketirisan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini media melaporkan Anthony Loke menawarkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Cadangan peletakan jawatan itu kepada mesyuarat CEC sebelum keputusan dibuat sebagai reaksi parti terhadap perkembangan berhubung tahanan rumah Najib.
Mengulas lanjut, Young Syefura menjelaskan, keutamaan teras parti pada masa ini adalah memelihara kesejahteraan negara dan rakyat berbanding agenda politik.
Katanya, sekiranya berlaku ketidakstabilan politik pada ketika negara sedang berada di landasan yang betul, pihak yang akan menerima dampaknya kelak adalah rakyat sendiri.
“Agenda rakyat melebihi agenda politik.
“Jika ketidakstabilan politik berlaku di mana negara sedang berada di landasan yang betul, yang rugi adalah rakyat, jadi yang menjadi keutamaan adalah kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya.-UTUSAN.











