KUALA LUMPUR: Landskap tenaga global sedang menuju ke arah perubahan struktur yang ketara menjelang 2030, menurut laporan strategik terbaharu yang dibentangkan oleh Presiden Institut Penyelidikan Ekonomi dan Teknologi CNPC (CNPC ETRI), Dr. Lu Ruquan.
Laporan tersebut tidak hanya merangkumi penilaian tahun semasa dan sebelumnya, tetapi turut menyentuh unjuran untuk tempoh 2026 hingga 2030, selaras dengan perancangan strategik rancangan lima tahun ke-15 kerajaan China.
Ruquan berkata, unjuran tenaga global dan domestik China untuk lima tahun akan datang menunjukkan perubahan ketara dalam landskap tenaga dunia menjelang 2030.
“Berdasarkan data, mulai 2026 hingga 2030, kadar pembangunan bahan api fosil dijangka menurun dengan kadar pertumbuhan tahunan hanya sekitar 1.3 peratus.
“Namun begitu, berbanding bahan api fosil, tenaga bukan fosil akan berkembang dengan lebih pesat,” katanya ketika berucap dalam forum ‘Peranan Strategik China dalam Peralihan Tenaga di Asia dan Peringkat Global’ sempena Energy Asia 2025 di sini.
Jelas beliau, dalam tempoh lima tahun akan datang, pihaknya akan menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan hampir lima peratus.
“Ini bermakna sehingga akhir 2030, tenaga bukan fosil dijangka menyumbang kira-kira 25 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga global,” katanya.
“Selain itu, permintaan minyak global dijangka mencapai paras tertinggi menjelang tahun 2030, atau mungkin lebih awal, berikutan pengurangan penggunaan dalam sektor pengangkutan serta peningkatan penggunaan tenaga alternatif.
“Negara-negara dalam kumpulan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dijangka terus mengekalkan kapasiti pengeluaran yang tinggi, manakala negara-negara bukan OPEC pula akan mempunyai keupayaan pengeluaran yang kukuh untuk meningkatkan pengeluaran masing-masing,” katanya.
Jelas Ruquan, ini menunjukkan bahawa pasaran minyak dan gas global dalam tempoh lima tahun akan datang, termasuk tahun ini, akan berdepan situasi lebihan bekalan.
“Sebagai contoh, pada tahun lalu, kapasiti OPEC adalah sekitar 7.3 juta tong dan pada masa ini masih berjumlah 6.5 juta tong sehari,” katanya.
Ruquan berkata, bagi negara bukan OPEC, didapati dengan dasar baharu pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, sektor minyak dan gas dijangka kembali rancak dengan peningkatan pengeluaran minyak.
Katanya, negara-negara pengeluar laut dalam seperti Brazil dan Mexico juga masih mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pengeluaran mereka.
“Sehubungan itu, kita akan terus menyaksikan situasi lebihan bekalan dalam tempoh mendatang yang akan menyebabkan harga minyak mentah dan gas menurun.
“Saya juga melihat pasaran dengan bekalan yang mencukupi dan pertumbuhan permintaan yang terhad juga menandakan bahawa harga minyak dan gas akan mengalami turun naik.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, kita akan melihat keadaan di mana bekalan melebihi permintaan. Unjuran ini dibuat berdasarkan senario terbaik, iaitu tiada bencana besar berlaku dan segala-galanya berjalan seperti sedia ada,” katanya.-UTUSAN










