KOTA KINABALU: Sebanyak 229 ekor babi ternakan persendirian milik enam individu di Penampang terjejas akibat penularan wabak demam babi afrika (ASF).
Penularan wabak ini menjadikan Penampang sebagai daerah ke-20 diisytihar kawasan wabak ASF di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, kes pertama dikesan pada 14 Disember tahun lalu dan wabak itu menular ke lima kampung di Inobong, Sugud dan Koidupan.
Menteri Pertanian dan Perikanan itu berkata, Penampang mempunyai dua ladang ternakan babi komersil yang mempunyai 2,900 ekor.
“Pada masa ini hanya ternakan babi di ladang ternakan tidak terjejas sahaja akan dihantar ke rumah penyembelihan di Inanam manakala, ladang yang disyaki berlaku penularan wabak tidak dibenarkan menghantar babi untuk disembelih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sejak wabak ASF dikesan di Sabah pada tahun lalu, 10 daerah telah diisytiharkan bebas wabak selepas 60 hari daripada kes terakhir dilaporkan. Ia termasuk Kota Marudu, Pitas, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Telupid, Tongod, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.
Tambah beliau, bagi membendung penularan wabak itu ke daerah berhampiran, kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Haiwan akan mengadakan kempen kesedaran di Penampang untuk memastikan orang ramai menyedari tentang bahaya wabak ASF.
Katanya, jabatan itu juga akan memantau dan mengawal pergerakan babi dan produk berasaskan babi untuk memastikan tiada ternakan yang dibawa keluar daripada Penampang.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan sedar mengenai kebimbangan orang ramai untuk membeli produk berasaskan babi terutama menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.
Jelas beliau, kerajaan sangat optimis bekalan daging babi di Sabah mencukupi untuk memenuhi permintaan pada musim perayaan ini.- UTUSAN ONLINE










