UMNO Padang Terap lulus usul Ismail Sabri dijadikan 'Poster boy' PRU-15 - Utusan Malaysia

UMNO Padang Terap lulus usul Ismail Sabri dijadikan ‘Poster boy’ PRU-15

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: UMNO Bahagian Padang Terap meluluskan usul supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadikan sebagai ‘poster boy’ untuk parti itu dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan itu diyakini akan menjadi strategi yang baik kepada parti tersebut bagi memenangi hati pengundi pada PRU akan datang.

“Keputusan supaya Ismail Sabri menjadi ‘poster boy’ buat ini diluluskan secara sebulat suara. Faktor utamanya kerana beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika ini.

“Beliau dilihat menjalankan tugas dengan baik dan faktor tersebut diyakini dapat menarik lebih ramai orang untuk mengundi UMNO dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Khidmat Komuniti, Kampung Padang Kerasak, Naka di sini hari ini.

Selain usul berkenaan, terdapat tiga lagi usul yang diluluskan secara sebulat suara dengan satu daripadanya adalah menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri hingga tamat penggal pada 2023.  

Mengulas mengenai usul berkenaan Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Perdana Menteri perlu diberi masa dan ruang mencukupi untuk menyelesaikan beberapa perkara penting terutamanya berkaitan pemulihan ekonomi akibat Covid-19.

“Dalam erti kata lain, PRU-15 tidak perlu diadakan dalam masa terdekat. Apabila sampai satu ketikam, beliau merasakan sudah sampai masanya untuk adakan pilihan raya bersandarkan faktor tertentu, biarlah Ismail Sabri sendiri berbincang dengan kepimpinan parti,” katanya.

Diminta mengulas mengenai kelayakan Ismail Sabri untuk diangkat sebagai Presiden parti, Mahdzir berkata, soal itu perlu dikembalikan kepada ahli parti pada pemilihan akan datang.

“Itu soal pemilihan dan berbeza sama sekali dengan usul yang kita luluskan hari ini.

Namun kalau boleh, kita mahu supaya Perdana Menteri menjadi orang sama menguruskan urusan berkaitan parti.

“Apa pun saya sebutkan tadi, ini perlu dikembalikan kepada ahli dan kita perlu kembali kepada bahagian serta akar umbi bagi menentukan perkara tersebut,” katanya. -UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN