Ujian saringan Covid-19 murid rendah berjalan lancar - Radzi Jidin

Ujian saringan Covid-19 murid rendah berjalan lancar – Radzi Jidin

RADZI Jidin berbual dengan tenaga pengajar SK Bandar Sri Damansara 3 selepas meninjau perjalanan ujian saringan Covid-19 dalam kalangan murid-murid semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan berpuas hati dengan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 untuk murid sekolah rendah yang dilaksanakan pada setiap Rabu hari persekolahan apabila semua proses dijalankan berjalan lancar dan teratur.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beliau berkesempatan untuk meninjau perjalanan ujian itu dengan singgah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Damansara 3 bagi melihat pengoperasian sekolah di samping hari pertama pelaksanaan saringan tersebut.

Katanya, beliau bersyukur kerana mendapat maklum balas positif daripada pihak sekolah manakala semua perjalanan berjalan, baik dan teratur.

“Alhamdulillah input daripada pihak sekolah, pelaksanaannya berjalan dengan baik dan teratur. Ujian kendiri menggunakan kit ujian menggunakan air liur dalam kalangan 10 peratus murid yang hadir ke sekolah pada minggu ini. 

RADZI Jidin berbual dengan seorang murid ketika meninjau pelaksanaan saringan Covid-19 di SK Bandar Sri Damansara 3, Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

“Daripada maklumat pihak sekolah, kita dapati sebahagian besar mereka pernah menggunakan kit ujian air liur ini.

“Kita lihat pelaksanaan hari ini berjalan dengan baik. Murid dapat mematuhi arahan yang telah diberikan oleh guru-guru dan mereka melaksanakannya secara kendiri di tempat yang disediakan pihak sekolah. Kita yakin proses ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan teratur pada minggu berikutnya sehingga sesi persekolahan berakhir pada 11 Disember ini,” katanya.

Kementerian Pendidikan sebelum ini memaklumkan pelaksanaan saringan bergilir Covid-19 untuk murid sekolah rendah yang dilaksanakan pada setiap Rabu hari persekolahan.

Menurut Radzi lagi, seramai 28 daripada 280 murid SK Bandar Damansara 3 telah dipilih untuk melaksanakan ujian itu.

“Berhubung ujian kendiri ini, 10 peratus dalam kalangan murid sekolah rendah yang hadir yang mula dilaksanakan hari ini dan akan dilaksanakan pada setiap hari Rabu setiap minggu.  

“Bagi SK Bandar Sri Damansara 3 ini, dalam kalangan 280 murid yang hadir hari ini, seramai 28 orang yang telah dipilih untuk melaksanakan ujian ini. Alhamdulillah, kita lihat anak-anak ini mula memahami tentang kaedah dan tatacara pelaksanaannya di sekolah,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Radzi memaklumkan bahawa beliau berkesempatan bertemu dengan seorang guru daripada kumpulan fasa pertama pengambilan one-off guru seramai 18,702 orang yang baharu mendaftar diri mengajar di sekolah berkenaan pada hari ini.

Jelas beliau, pada hari ini merupakan hari pertama untuk kumpulan guru dalam fasa pertama itu melaporkan diri di sekolah masing-masing. 

“Alhamdulillah, kita dapat lihat proses pengambilan untuk 18,702 orang secara one-off ini berjalan dengan teratur. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan kerana telah melaksanakan pengambilan ini. 

“Kami telah bekerjasama rapat bagi memastikan pengambilan ini dapat dilaksa

nakan dengan cepat dan teratur,” katanya.

Seorang guru muzik, Shaharin Mohd Nor, 27, ketika ditemui melahirkan perasaan bersyukur dengan rezeki dan peluang yang telah dibuka oleh Kementerian Pendidikan dan kerajaan untuk memberikan peluang kepada guru-guru yang mengambil ikhtisas pendidikan untuk mendapat penempatan di sekolah.

Menurut graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu, dia merupakan salah seorang warga pendidik yang baharu melaporkan diri di sekolah ini hari ini dan merupakan seorang daripada calon dalam fasa satu pengambilan guru secara one-off.

“Saya amat bersyukur dengan rezeki dan peluang yang telah dibuka oleh Kementerian Pendidikan dan Kerajaan untuk memberikan peluang kepada guru-guru yang mengambil ikhtisas pendidikan untuk mendapat penempatan di sekolah,” jelas yang berasal daripada Kuantan, Pahang itu.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mengumumkan pengambilan seramai 18,702 pegawai pendidikan gred DG41 secara ‘one off’ untuk mengatasi kekurangan guru di negara ini khususnya membabitkan negeri dan mata pelajaran tertentu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya