Transaksi ATM RM1: Bukan masa sesuai kenakan caj  - Utusan Malaysia

Transaksi ATM RM1: Bukan masa sesuai kenakan caj 

Saifuddin Nasution Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kini bukan masanya untuk bank mengenakan semula caj RM1 bagi transaksi antara bank di mesin juruwang automatik (ATM) bermula 1 Februari 2022.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan, langkah itu yang sangat salah dan kini tidak disenangi rakyat di samping ramai netizen tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Jelas beliau, seluruh negara daripada segi teknikalnya mengetahui sektor perbankan antara sektor melaporkan keuntungan sihat meskipun pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebagai contoh, Maybank melaporkan keuntungan bersih bagi suku kedua 2021 berjumlah RM1.96 bilion, iaitu hampir RM1 bilion lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. 

“CIMB pula menyaksikan peningkatan RM1.835 bilion keuntungan bersih ke RM2.62 bilion (2Q2021) berbanding RM785 juta (2Q2020). Ini bermaksud kebanyakan jika bukan kesemua bank komersial menyaksikan keuntungan sihat tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru jelas beliau, semua menyedari bahawa bank-bank sering kali meletakkan pelbagai caj ke atas hampir semua transaksi yang lain. 

“Saya juga berpandangan terdapat cara-cara bagi memastikan pihak bank masih dapat menampung kos dalam hal transaksi ATM yang dimaksudkan ini, yang juga sudah pasti dalam pengetahuan Menteri Kewangan yang dahulunya juga seorang pegawai atasan bank komersial,” jelas beliau.

Saifuddin menjelaskan, pada 3 November lalu, kerajaan mengumumkan 600,000 isi rumah daripada kumpulan berpendapatan sederhana (M40) telah jatuh ke dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) akibat pandemik Covid-19. 

Malah katanya lagi, setakat Oktober lalu, dianggarkan 13.9 peratus anak muda antara 15-24 tahun menganggur, manakala secara amnya terdapat 705,000 orang yang sedang menganggur. 

“Dikira bersama peningkatan harga barang yang mendadak dan belum lagi dapat dikawal, jelas rakyat sekarang berada dalam keadaan sangat tertekan.

“Oleh itu, saya menggesa kerajaan dan khususnya Menteri Kewangan untuk segera masuk campur dan mengarahkan bank-bank membatalkan rancangan kenaan bayaran RM1 bagi transaksi ATM ini,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pimpinan PKR akan terus meneliti perkembangan isu berkenaan dan bersedia mengadakan pertemuan dengan pihak kerajaan mahupun wakil bank-bank berkenaan demi menyampaikan suara rakyat.- UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya