Tokoh Guru Kebangsaan: Dulu nak jadi pegawai pertanian - Utusan Malaysia

Tokoh Guru Kebangsaan: Dulu nak jadi pegawai pertanian

NOORIZAN Mohammed bergambar pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pernah bercita-cita mahu menjadi pegawai pertanian namun sebaik menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan, hatinya terus tertarik untuk menjadi guru sekali gus menabur ilmu dan bakti kepada anak bangsa. 

Noorizan Mohamed, 65, yang juga penerima Tokoh Guru Kebangsaan 2021 berkata, malah kecintaan dalam sektor perguruan juga dipengaruhi oleh sokongan ibu bapa yang turut menggalakkannya mengejar kerjaya sebagai guru. 

“Ibu bapa memang nak saya menjadi seorang guru tetapi pada waktu itu, saya rasa macam nak jadi pegawai pertanian. Saya akhirnya mendapat tawaran ke Universiti Putra Malaysia (UPM) (dahulu dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia) dalam bidang pendidikan.

 “Waktu kanak-kanak dahulu, saya selalu ‘main-main sekolah’ bersama adik beradik. Sebenarnya saya minat apabila tengok cikgu datang ke sekolah berpakaian cantik dengan warnanya dipadankan dengan kasut, saya nampak (cikgu) cantik sangat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di sini hari ini. 

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Dalam pada itu, Noorizan yang juga ibu kepada dua anak selain mempunyai enam cucu berkata, sebelum ini dia mengajar mata pelajaran Sains dan Biologi serta berkhidmat sebagai guru sejak 1980 dan bersara pada 2014. 

“Kemudian pada 2016, saya diberi peluang memberi perkhidmatan dalam Program Sekolah Amanah di bawah kendalian organisasi milik penuh Khazanah Nasional Berhad, LeapEd Services Sdn. Bhd. bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cyberjaya. 

“Sekarang saya dilantik sebagai Penasihat Pendidikan di Jeli, Kelantan bagi Program Sekolah Amanah kira-kira lima tahun,” ujarnya yang juga anak kelahiran Pasir Putih, Kelantan. 

Penerima Anugerah Khas Guru Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah, Ahmad Shahrul Azhan Ibrahim, 45, yang dikenali menerusi perkongsian ilmu Bahasa Inggeris pada TikTok dan Instagram berkata, dia menerima maklum balas positif bukan sahaja daripada anak didiknya malah pelajar dari sekolah lain yang mengikutinya di media sosial. 

“Kandungan media sosial saya ringkas dan ini menarik minat pelajar untuk belajar. Pelajar sukakan benda yang ringkas, jadi penyampaian ilmu dalam durasi 15 saat ke 30 saat dalam media sosial disukai oleh mereka. 

“Ada juga pelajar saya minta buat video TikTok sebab nak popular kerana mereka suka apabila wajah mereka di dalam media sosial,” katanya yang bertugas di SMK Long Ghafar 2, Kelantan. 

Ujarnya lagi, dia juga melihat peratusan lulus peperiksaan anak didiknya meningkat sebanyak 86 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris sekali gus terdapat perubahan ke arah yang positif. 

“Saya dari sekolah biasa di Kelantan dan kita tahu, penerimaan Bahasa Inggeris agak sukar kepada mereka. Jadi apa yang diajarkan saya itu, mereka gunakan termasuk bersama kawan-kawan. 

“Ada juga guru dari sekolah lain menggunakan video saya dikongsikan kepada anak didik mereka malah, pelajar dari sekolah lain pun ada yang mesej mahu terlibat sama dalam sesi ‘live’,” katanya. 

Penerima Guru Cemerlang Orang Kurang Upaya (OKU), Mohd. Nizam Abd. Samad pula melahirkan rasa syukur terhadap anugerah yang diterima sekali gus menyifatkan penyuntik semangat untuk terus berbakti kepada anak bangsa. 

“Anugerah ini daripada Allah SWT dan apa yang saya dapat ini, bukan saya seorang tetapi usaha bersama rakan-rakan guru di sekolah selain Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan yang banyak membantu.

“Sepanjang 23 tahun dalam bidang perguruan, sudah lima sekolah saya mengajar subjek Pendidikan Islam. Antara pengalaman saya ialah pernah terjatuh dan terbaharu pada 16 September lalu sehingga menyebabkan lutut bengkak tetapi kejadian tersebut berlaku di rumah,” katanya. 

Mohd. Nizam yang juga guru Sekolah Kebangsaan Parit 6, Sungai Besar, Selangor merupakan OKU fizikal melibatkan anggota kaki sejak dilahirkan.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN