Rakyat Sabah miskin kerana politik tidak stabil

Rakyat Sabah miskin kerana politik tidak stabil

DATUK Seri Masidi Manjun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
ISU yang sama terus berulang sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, khususnya melibatkan kemudahan asas yang tidak diselenggara dengan baik serta masalah kemiskinan yang masih menjadi persoalan utama ketika ini.

Menteri Kewangan Sabah, DATUK SERI MASIDI MANJUN berkata, puncanya bukan semata-mata soal kekurangan sumber atau kelemahan pentadbiran tetapi kegagalan negeri menikmati kestabilan politik yang konsisten. Malah, setiap kali kerajaan bertukar atau wujud perebutan kuasa, masa yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan rakyat terbuang dalam pertelagahan politik.

Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR bersama Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) tersebut yang menjadi calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan dalam pilihan raya negeri kali ini.

UTUSAN: Peluang GRS dalam PRN Sabah kali ini?
MASIDI: Secara keseluruhan, masih sukar untuk kita nyatakan dengan pasti potensi kemenangan GRS kerana saya tidak mahu dianggap sombong ataupun terlalu yakin. Yang pasti, apabila kita bertanya kepada sesiapa pun, peratusan pengundi yang masih belum membuat keputusan undecided masih agak tinggi. Namun di tempat-tempat tertentu yang kita anggap sudah bersedia, calon juga tiada masalah, insya-Allah saya yakin.

Apa yang menentukan pilihan pengundi Sabah?
Strategi pembangunan sama ada di bandar ataupun luar bandar sebenarnya adalah penerus kepada kestabilan politik. Apa pun pembangunan yang kita nampak akhirnya bergantung kepada suasana politik negeri. Ini termasuklah kawasan seperti Karanaan.

Dalam dua atau tiga tahun kebelakangan ini, kita melaksanakan pembangunan yang agak baik kerana adanya kestabilan politik. Persoalannya, adakah kita bersedia untuk mengambil risiko menukar kerajaan ketika berada di tengah-tengah momentum pembangunan yang begitu baik?

Kita telah melalui pelbagai eksperimen politik, tukar-menukar dan sebagainya. Masalah utama pembangunan di Sabah dan sebab mengapa negeri ini masih ketinggalan, adalah kerana tiada kestabilan politik. Semakin banyak masa dihabiskan untuk berkonflik dan berpolitik, semakin sedikit fokus diberikan kepada pembangunan. Padahal, tumpuan utama kerajaan sepatutnya membangunkan rakyat dan negeri. Inilah yang perlu ditekankan.

Adakah lebih baik GRS bertanding secara solo?
Bagi saya dari dahulu lagi, perlu ada kerjasama erat dengan kerajaan pusat. Kadang-kadang orang cakap go solo seolah-olah menidakkan wujudnya kerajaan pusat.

Bagi saya, GRS adalah sebahagian daripada kerajaan pusat. Jadi, bila kita kata kita mahu go solo atau buat sendiri, kadang-kadang lupa kita sebenarnya sebahagian daripada kerajaan pusat itu sendiri.

Mana mungkin kita meneruskan pengurusan negeri, pembangunan dan sebagainya kalau kita menidakkan kehadiran kerajaan pusat? Saya ingat kerjasama dengan kerajaan pusat amat perlu sekali.

Yang penting bagi saya ialah negeri dan pusat berdiri atau berunding sebagai rakan kongsi yang sama. Tidak boleh seolah-olah satu pihak perlu mengikut semua kehendak satu pihak lagi.

Dalam hubungan negeri-pusat selama 30 tahun ini, kerajaan pusat memberi banyak kemudahan dan pengiktirafan kepada kerajaan negeri. Tunggak pentadbiran negeri ini adalah parti tempatan tetapi kerjasama tetap erat dan padu. Memang sukar jika tiada kerjasama dengan kerajaan pusat.

Kita lihat sejarah, ramai orang masih ingat pengalaman pahit zaman Parti Bersatu Sabah (PBS) mentadbir kerajaan negeri dahulu. Ketika mereka memutuskan untuk tidak bekerjasama secara erat dengan kerajaan pusat menyebabkan pembangunan terbantut. Banyak keputusan yang dibuat pada waktu itu, mungkin kini kita menyesalinya.

Tetapi mereka lakukan begitu kerana tidak mendapat sokongan kewangan daripada kerajaan pusat. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Pengalaman lalu harus dijadikan sandaran untuk fikir pertimbangan politik di Sabah dan juga Malaysia.

Peluang di DUN Karanaan?
Buat masa ini, kita ingin terus memacu pembangunan, khususnya dalam peningkatan infrastruktur jalan raya. Karanaan secara amnya pusat pertanian. Kebanyakan penduduknya adalah petani. Jadi, perlu bagi kita menaik taraf kemudahan supaya memudahkan pemasaran produk pertanian.

Kedua, Pekan Ranau, sebagai sebahagian daripada kawasan Karanaan, mempunyai kepelbagaian penduduk berbanding kawasan kampung, termasuk kehadiran etnik Cina menyebabkan perbezaan kerjaya. Antara tumpuan ialah bagaimana kita menerapkan kemahiran kepada belia yang sukar mencari pekerjaan. Kita terpaksa menerima hakikat bukan semua anak muda mahu menjadi petani kerana kerja itu dianggap panas dan berat.

Kita faham cabaran itu. Jadi apa yang kita buat ialah memperbanyakkan latihan kemahiran supaya mereka lebih kompetitif di pasaran kerja di Kota Kinabalu, industri dan sebagainya.

Apabila timbul masalah orang enggan bekerja, kita perlu memberi perhatian kepada minat mereka, bukannya sekadar menolak mereka untuk menjadi petani.

Calon PRN terlalu ramai?
Kita membuktikan sesiapa pun boleh bertanding. Namun bila terlalu banyak parti, ada juga pemimpin GRS yang tidak puas hati lalu bertanding sebagai calon Bebas. Calon-calon ini boleh menjadi pemecah undi atau mengurangkan majoriti. Itu memang menyedihkan.

Contohnya boleh dilihat di DUN Pintasan dan sebagainya, bila tidak dipilih sebagai calon, mereka fikir mereka paling layak lalu bertanding sebagai calon Bebas. Ini tentang ketaatan kepada parti dan keputusan pemimpin, kita tidak mampu menggembirakan semua orang. Dalam satu parti, hanya ada satu calon. Kadang-kadang keputusan yang betul adalah keputusan yang amat sukar.

Kita tidak mempertikaikan kemampuan mereka. Ramai yang layak tetapi dalam satu kawasan, jika ada beberapa orang yang sama-sama berkualiti, kita tetap hanya boleh memilih seorang.

Kita perlu hidup dengan keputusan kita, ada kemungkinan kita menang, mungkin tewas tetapi itulah asam garam politik.

Kempen PRN Sabah terlalu banyak main sentimen kenegerian?

Dari segi perlembagaan, usaha mempertahankan keistimewaan kita tidak seharusnya hanya menjadi permainan sentimen kenegerian. Perlembagaan Malaysia dan Sabah jelas menetapkan bahawa sebarang pindaan yang melibatkan Sabah mesti mendapat kelulusan DUN.

Pelaksanaan dasar yang melibatkan perlembagaan juga memerlukan persetujuan negeri. Dalam dinamika politik sekarang, saya tidak fikir mudah untuk kerajaan Persekutuan meminda Perlembagaan. Ia memerlukan majoriti dua pertiga. Sarawak sahaja sudah mempunyai ramai ahli Parlimen, belum termasuk Sabah. Kalaupun terjadi, ia hanya akan berlaku jika semua ahli Parlimen Sabah dan Sarawak bersetuju.

Saya tidak nampak bagaimana mereka akan bersetuju jika pindaan itu menjejaskan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia. Malah, kesediaan kita untuk berbincang mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sendiri menunjukkan kita serius dalam mengekalkan kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak dalam Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN