Malaysia antara paling fasih bahasa Inggeris di ASEAN

Malaysia antara paling fasih bahasa Inggeris di ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Malaysia muncul antara negara paling fasih berbahasa Inggeris di ASEAN selepas Singapura, menurut Indeks Kecekapan Bahasa Inggeris EF (EF EPI) 2025.

Skor diperoleh Malaysia juga mengatasi Filipina, Indonesia dan hampir semua negara serantau lain.

Malaysia mencatat skor 581 dan berada dalam kumpulan kemahiran tinggi, jauh meninggalkan Indonesia yang kekal dalam kategori rendah dengan skor 471 serta terus bergelut untuk mencapai tahap pertuturan yang lemah.

Indonesia menduduki tangga ke-80 daripada 123 negara dalam Indeks EF EPI 2025.

Walaupun meningkat tiga mata berbanding edisi tahun sebelumnya, negara itu masih ketinggalan berbanding kebanyakan negara Asia lain dan jauh di belakang negara-negara Eropah yang mendominasi kedudukan tertinggi.

Laporan itu turut menyatakan kemahiran bertutur kekal sebagai aspek paling lemah di seluruh dunia.

Trend sama turut dilihat di Indonesia apabila negara itu mencatat skor 447 dalam pertuturan, lebih rendah berbanding bacaan (491) dan penulisan (479).

Kumpulan prestasi terbaik di Indonesia ialah mereka berusia 21 hingga 25 tahun dengan purata skor 503.

Penemuan ini berdasarkan penilaian terhadap 2.2 juta peserta ujian EF SET di seluruh dunia, termasuk penilaian baharu bagi kemahiran penulisan dan pertuturan.

Bagaimanapun, Jakarta merekodkan skor 523, berada dalam kumpulan kemahiran sederhana, jauh mengatasi skor kebangsaan Indonesia.

Ibu kota itu juga mengungguli beberapa bandar Asia utama seperti Bangkok (467), Beijing (514) dan Vientiane (486), tetapi masih di belakang Manila (603), Kuala Lumpur (588) dan Hong Kong (541).

KEDUDUKAN NEGARA ASEAN

Di peringkat Asia, Indonesia berada di kedudukan ke-12 daripada 25 negara.

Lapor Jakarta Globe, Malaysia, Filipina, Hong Kong dan Korea Selatan menduduki kedudukan teratas rantau ini sementara Nepal dan Bangladesh turut mengatasi Indonesia.

Negara yang berada di bawah Indonesia termasuk China, Laos, Jepun, Uzbekistan dan Thailand.

Malaysia berada di kedudukan ke-24 dalam senarai global sementara Filipina pula berada di tangga ke-28 dan Vietnam di tempat ke-64.

Thailand dan Kemboja pula agak jauh ketinggalan, masing-masing di tangga ke 116 dan 123.

Sebanyak 12 negara meraih skor melebihi 600 dalam kumpulan kemahiran sangat tinggi termasuk Singapura.

Negara-negara Eropah menguasai ranking global dengan Belanda mencatat skor tertinggi iaitu 647, diikuti Singapura, Austria, Denmark dan Norway dalam kelompok lima teratas.

Dua negara Afrika, iaitu Afrika Selatan (602) dan Zimbabwe (602), turut mencapai kategori kemahiran sangat tinggi, didorong penggunaan bahasa Inggeris secara meluas dalam pendidikan dan pentadbiran.

Sebanyak 22 negara pula berada dalam kategori sangat rendah dengan skor 449 atau lebih rendah.

Republik Demokratik Congo mencatat skor terendah iaitu 385, manakala Tajikistan, Libya, Yemen dan Rwanda melengkapkan lima negara terbawah.

Namun EF EPI memaklumkan pelajar termuda global berusia 18–20 tahun menunjukkan kemajuan yang lebih perlahan selepas pandemik, satu cabaran yang turut dihadapi Indonesia.

Badan itu memberi amaran, perkembangan pesat alat kecerdasan buatan (AI) bakal meluaskan jurang antara pekerja yang mahir bahasa Inggeris dan yang tidak.

Ini kerana kebanyakan ciri AI lanjutan dilancarkan dalam bahasa Inggeris terlebih dahulu, menjadikan negara dengan penguasaan kuat lebih bersedia untuk menerima teknologi baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN