PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sedang hangat dengan kempen, dengan pelbagai calon menabur janji untuk kesejahteraan rakyat.
29 November ini menjadi penentu bagi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 1.78 juta pengundi untuk memilih wakil mereka.
Setiap calon berlumba-lumba menonjolkan kemampuan, integriti dan visi pembangunan, dengan tumpuan utama kepada isu luar bandar, peluang pekerjaan, hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan keterlibatan pengundi muda.
PRN kali ini bukan sekadar proses demokrasi tetapi medan menentukan hala tuju politik Sabah yang semakin kompleks.
Kehangatan PRN juga mencerminkan pergolakan pilihan rakyat terhadap pemimpin yang benar-benar mampu menyelesaikan isu-isu mendesak.
KRITERIA PEMIMPIN PILIHAN RAKYAT
Hasil kajian saya bersama rakan-rakan mendapati pengundi di enam buah negeri pada PRN lalu menekankan sifat adil, amanah dan berpendidikan tinggi sebagai kriteria utama dalam membuat pilihan.
Sebanyak 95 peratus responden bersetuju kriteria tersebut wajib ada dalam diri seorang pemimpin. Kriteria kedua yang dianggap penting ialah kuat agama. Ia dilihat sebagai salah satu faktor yang boleh melindungi calon daripada sifat-sifat buruk seperti pecah amanah dan menipu.
Berpendidikan tinggi juga dianggap sebagai kriteria yang penting apabila 77 peratus daripada responden melihat ciri ini dalam diri seorang pemimpin.
Pengundi berpandangan calon perlu memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda untuk dapat mentadbir dengan baik.
Kriteria-kriteria lain yang turut diteliti oleh pengundi ialah pengalaman dalam politik, berpersonaliti menarik dan merupakan anak tempatan.
Walau bagaimanapun, 60 peratus daripada pengundi berpandangan bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak semestinya seorang lelaki dan berumur lebih daripada 40 tahun. Ini menunjukkan tahap keterbukaan pengundi yang lebih baik terhadap jantina dan umur calon.
Pengundi semakin menerima calon wanita sebagai wakil mereka dan menganggap umur bukanlah satu-satunya pengukur bagi pengalaman dan kematangan calon.
Tinjauan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga mendapati pengundi muda sangat menitikberatkan integriti. Mereka cenderung untuk memilih pemimpin dan parti politik yang berintegriti tinggi.
Antara ciri-ciri pemimpin pilihan pengundi berdasarkan kajian pada 2022 mereka yang bebas rasuah, amanah dan jujur.
Namun begitu, responden kajian sedar tidak semua calon dan parti politik berintegriti tinggi. Justeru, mereka akan membuat pilihan yang terbaik semasa memilih.
Sementara pengundi kali pertama juga cenderung untuk memberi undi kepada parti pilihan mereka yang ditetapkan sejak awal. Kajian merumuskan pengundi kali pertama sentiasa memerhati dan menganalisis perkembangan politik tanah air serta mempunyai penilaian tersendiri terhadap calon dan parti yang bertanding.
PERANAN BELIA
Pensyarah kanan dan penganalisis politik, Junaidi Awang Besar turut melaporkan 18 peratus belia menyatakan mereka akan memilih calon yang jujur dan amanah sebagai wakil mereka berdasarkan kajian yang telah dijalankan.
Parti politik yang memperjuangkan isu kemanusiaan seperti ketelusan, keadilan, hak asasi manusia dan antirasuah menjadi pilihan utama belia.
Selain daripada itu, belia juga didapati cenderung untuk memilih calon yang mesra rakyat, bersih daripada rasuah dan mempunyai karisma. Aspek kepimpinan dan personaliti pemimpin turut menjadi kriteria kepada pengundi untuk memilih pemimpin yang disokong iaitu pemimpin yang berwibawa, tegas, boleh berdebat dalam memperjuangkan isu dan hak rakyat, berketerampilan, berpendidikan tinggi serta berpengetahuan agama.
ISU BANDAR lAWAN LUAR BANDAR
Jika dianalisis dari segi lokasi geografi responden, didapati majoriti responden di kawasan bandar memilih parti politik yang memperjuangkan isu kemanusiaan seperti ketelusan, keadilan dan hak asasi.
Ini berbeza dengan responden di kawasan luar bandar yang lebih memilih parti yang dapat memacu pembangunan dari aspek infrastruktur dan kemudahan awam serta dapat mengatasi isu kemiskinan.
Pengundi di kawasan bandar tidak lagi memberi tumpuan kepada aspek infrastruktur kerana kawasan bandar sudah terdapat kesemua kemudahan asas yang diperlukan seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, sekolah dan sebagainya.
Selain itu, tinjauan lain oleh Marzuki Mohamad dan Ibrahim Suffian selepas keputusan PRU15 pada 19 November 2022 juga menunjukkan etnik kekal sebagai faktor utama yang menentukan hasil pilihan raya.
Walaupun isu-isu etnik bukan tumpuan sebenar kempen pilihan raya dan tinjauan prapilihan raya, namun corak pengundian menunjukkan pengundi secara amnya masih memilih berdasarkan faktor etnik.
Faktor etnik masih kekal sebagai penanda utama politik Malaysia. Identiti dan budaya terus menjadi asas pilihan politik dan menewaskan faktor lain seperti ekonomi, kelas sosial, umur, jantina dan wilayah.
Parti politik merangka strategi dan kempen pilihan raya berdasarkan sokongan etnik. Manakala pengundi, walaupun meletakkan isu ekonomi dan tadbir urus sebagai keutamaan utama, namun masih menunjukkan keutamaan kepada parti yang paling sesuai dengan kepentingan etnik mereka. – UTUSAN
DR. Siti Marziah Zakaria ialah Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










