Tindakan pembida hilangkan diri boleh dianggap hina mahkamah  - Utusan Malaysia

Tindakan pembida hilangkan diri boleh dianggap hina mahkamah 

NUR SAJAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM  Tindakan lelaki yang menghilangkan diri selepas memenangi bidaan harta mudah alih usahawan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat adalah sama seperti menghina dan mempermain arahan mahkamah.

Peguam Nurul Hafidzah Hasaan berkata, proses lelongan itu adalah arahan dikeluarkan pihak Mahkamah Tinggi Shah Alam pada bulan lepas yang membenarkan harta Nur Sajat disita dan dilelong ekoran gagal membayar pampasan kepada OWA Resources.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak plaintif menuntut pampasan RM183,000 yang gagal dibayar melalui proses penyitaan itu.

Bagaimanapun, pemenang terbabit yang disahkan sebagai pembantu peribadi seorang lagi usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri  menghilangkan diri apabila tidak dapat dihubungi oleh pihak peguam selepas keluar dengan memberikan alasan untuk menguruskan bank draf.

Proses lelongan itu sekali gus dikira terbatal berikutan kegagalan lelaki itu membuat bayaran selepas pukul 4.10 petang.

Semalam pembida terbabit memenangi bidaan barangan di kediaman Nur Sajat pada harga RM132,000 daripada keseluruhan lapan pembida yang mengambil bahagian dalam proses lelongan awam berkenaan.

Antara barangan termahal yang dilelong adalah piano bernilai RM40,000 dan termurah adalah set pembakar roti selain beberapa barangan lain iaitu sofa, penghawa dingin, mesin basuh, peti sejuk, almari pakaian, set bilik tidur dan televisyen.

Sehubungan itu, satu tarikh lelongan baru akan dikemukakan oleh firma guaman NHA Advocates & Solicitors di mahkamah bagi membolehkan bayaran Nur Sajat kepada bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle miliknya, OWA Resourses Sdn. Bhd. dapat diselesaikan.

Sementara itu, Nurul Hafidzah dijangka memberikan maklumat lanjut mengenainya pada petang ini. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN