KOTA BHARU: Sistem amaran dalam bentuk digital diletakkan di semua kawasan berisiko tinggi serta lokasi yang dijangka berlaku tanah runtuh untuk memberi amaran awal kepada masyarakat.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, selain amaran digital, penggunaan siren akan dilaksanakan secara meluas di semua lokasi termasuk di kawasan yang tiada penempatan penduduk.
Katanya, antara kawasan yang sudah diletakkan sistem itu ialah di Gunung Jerai, Kedah serta beberapa lokasi di Sabah dan kawasan yang tanah tinggi termasuk Cameron Highlands, Pahang.
“Kita belum menyemak sama ada kawasan berlaku tragedi tanah runtuh di Seksyen 27 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands baru-baru ini sudah mempunyai sistem amaran awal ini atau tidak.
“Secara umumnya, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang mempunyai peta tapak lokasi berisiko tinggi akan menjalankan kajian sebelum mereka bersama jabatan lain termasuk Jabatan Perhutanan menguruskan sistem berkenaan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM Peringkat Parlimen Kota Bharu di sini, hari ini.
Seramai 76 pelajar cemerlang dari sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan di bawah Kementerian Pendidikan menerima sijil penghargaan serta wang tunai sumbangan kerajaan negeri.
Mengulas lanjut Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, selain sistem amaran awal, kementerian ketika ini giat menjayakan kempen kesedaran kepada rakyat mengenai bahaya berada di kawasan berisiko tinggi.
“Kita tidak mahu alat ada tetapi tiada kesedaran, sebaliknya gabungan dua perkara itu diharap dapat menangani isu tanah runtuh,” ujarnya.
Dalam tragedi terbaharu pada 2 Disember lalu, dua lelaki dilaporkan maut selepas kenderaan masing-masing tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands. – UTUSAN ONLINE










