Cik Bunga sejak kebelakangan ini asyik terdengar satu cerita yang sedang hangat diperkatakan dalam kalangan warga maya.
Kisahnya mengenai seorang pempengaruh yang dilihat begitu bersungguh-sungguh membawa naratif bahawa dirinya menjadi mangsa fitnah seorang artis. Dari satu kenyataan ke satu kenyataan, dari satu hantaran ke satu hantaran, isu itu seolah-olah tidak mahu dibiarkan sejuk.
Pada mulanya ramai bersimpati. Biasalah, kalau seseorang mendakwa dirinya dianiaya, tentu ada yang tampil memberikan sokongan. Namun apabila cerita semakin panjang dan episod baharu muncul hampir setiap minggu, mula ada pihak yang memandang sinis.
Bukan apa, ada yang mendakwa pempengaruh berkenaan sebenarnya sedang ‘menjual’ isu tersebut untuk memastikan namanya terus menjadi sebutan.
Individu itu dikatakan sudah lama menyimpan impian untuk menjejakkan kaki ke dalam industri hiburan. Katanya, hasrat mahu bergelar artis bukan rahsia lagi dalam kalangan kenalan rapat.
Malah, ada yang mendakwa dia pernah beberapa kali mencuba nasib, namun rezeki untuk mendapat tempat dalam bidang lakonan masih belum menyebelahinya.
Kononnya, dia berharap kontroversi yang tercetus, maka ada penerbit atau pengarah yang tertarik melihat namanya sering menjadi perhatian lalu menawarkan peluang berlakon. Apapun, hanya empunya badan yang mengetahui niat sebenar di sebalik segala yang berlaku.
Bagi Cik Bunga, kalau benar ada impian mahu bergelar artis, teruskan sahaja berusaha dan tonjolkan bakat yang ada. Kalau betul ada bakat!










