TANAH MERAH: Taktik seorang lelaki mengumpul ribuan pod vape di sekitar daerah ini sebelum cuba menyeludupnya ke Thailand melalui pangkalan haram di Kampung Rahmat, Rantau Panjang terbongkar selepas ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) hari ini.
Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan pada pukul 12.15 tengah hari semasa melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) Lalang Pepuyu selepas Toyota Hiace putih yang dipandu lelaki berusia 42 tahun itu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil pemeriksaan ke atas van berkenaan menemukan sejumlah kotak mengandungi 2,560 unit pod vape pelbagai perisa yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek mengaku mendapatkan bekalan pod vape tersebut di sekitar Tanah Merah sebelum menyeludup barangan itu ke Thailand melalui pangkalan haram di Kampung Rahmat, Rantau Panjang.
“Semasa ditahan pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan barangan yang dibawa sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
“Pod vape itu dipercayai dikumpulkan sebelum dibawa ke sempadan untuk diseludup masuk ke Thailand,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM316,000.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN










