Ya, kami pernah terima lebih dari ancaman - .Feast - Utusan Malaysia

Ya, kami pernah terima lebih dari ancaman – .Feast

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA hari konsert sulung kumpulan rock .Feast di Malaysia laris manis dengan 5,000 peminat yang dipanggil ‘Kelelawar Malaysia’. Kumpulan yang dianggotai Daniel Baskara Putra (Vokalis) Adnan Satyanugraha Putra (Gitaris), Dicky Renanda Putra (Gitaris) dan Fadli Fikriawan Wibowo (Pemain Bass) menyifatkan sokongan peminat di Malaysia sebagai ‘gila’ menyebabkan mereka sangat seronok setiap kali mendapat undangan bernyanyi di sini.

Bagi golongan muda di Malaysia, .Feast bukanlah nama yang asing dengan lirik-lirik tajam mengkritik sosial dan politik. Apalagi di Indonesia, lagu-lagu .Feats khususnya untuk dua album terawal pasti dipasang dan dinyanyikan sebagai simbolik kepada suara rakyat setiap kali timbul isu penindasan dan mempersoalkan keputusan pemerintah.

Bercerita mengenai perjalanan kumpulan ini, vokalisnya, Baskara Putra mengakui mereka pernah berdepan dengan pelbagai peristiwa pahit termasuklah ancaman daripada beberapa pihak kerana kelantangan mereka.

“Berbanding album lalu, album Membangun dan Menghancurkan (MnM) bukan sebuah album sosial politik sepenuhnya jika mahu dibandingkan dengan naskhah-naskhah kami terdahulu.

“Tentu sahaja ia mempunyai konteks politik dan sosial di dalamnya, ditambah pula dengan apa yang berlaku di Indonesia sehingga ke pagi tadi. Kami mempunyai banyak cerita yang kami takut untuk kongsikan terlalu banyak kepada media kerana kami sendiri tidak menceritakannya secara terbuka di Indonesia.

“Ada banyak perkara berlaku di sebalik tabir seperti ancaman dan sebagainya. Kami cuma takut nanti sangkut dengan imigresen kalau cerita lebih-lebih. Cuma, ya, kami menerima lebih daripada sekadar ancaman,” katanya kepada Pancaindera, baru-baru ini.

Bagaimanapun, .Feast membawa hala tuju muzik band kepada nuansa yang lebih mudah didekati dengan tema persahabatan dan kekeluargaan dalam MnM.

“MnM menaikkan status band ini ke tahap yang lebih approachable atau mainstream. Ramai orang menggunakan album ini sebagai pintu masuk untuk mengenali lagu-lagu lama kami.

“Di situlah masalah bermula, sebab mereka baru perasan lagu-lagu lama kami sangat politikal sedangkan mereka sangka kami hanya menyanyi lagu kanak-kanak seperti Nina.

“Kami letih menulis lagu sosial politik tetapi akhirnya tiada apa yang berubah di negara kami. Jadi, kami memutuskan untuk menjadi lebih sentimental kali ini,” jelas Baskara.

Tuah menyebelahi .Feast apabila album MnM dipilih sebagai Album Rock Terbaik di Anugerah Musik Indonesia (AMI Awards).

Bagi pemain bass, Awan, dia sendiri tidak menjangkakan sebarang pengiktirafan buat album ini memandangkan mereka baru keluar daripada kemelut dalaman yang sangat hebat.

“Sejujurnya kami tidak jangkakan apa-apa anugerah. Apabila kami mendapat anugerah untuk Album Rock Terbaik, ia satu pencapaian terbesar yang sangat bermakna bagi kami.

“Saya memutuskan untuk berhenti kerja selepas kami memenangi AMI Awards tersebut. Saya lepaskan kerjaya korporat saya untuk fokus sepenuhnya bersama rakan-rakan saya di .Feast,” ujarnya.

Ditanya mengenai apakah corak muzik yang bakal dibawa kumpulan itu di masa akan datang, masing-masing tersenyum.

“Lihat nanti, kami jalani sahaja dulu,” kata Awan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN