SOP pilihan raya untuk halang kempen pembangkang, kata DAP Sarawak - Utusan Malaysia

SOP pilihan raya untuk halang kempen pembangkang, kata DAP Sarawak

CHONG Chien Jen bercakap semasa sidang akhbar hari ini. - IHSAN DAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak didakwa bertujuan membendung aktiviti berkempen parti politik pembangkang dan bukannya mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengerusi DAP Sarawak, Ching Chien Jen mendakwa, SOP berkenaan tidak wajar dan tidak adil terutama apabila hanya membenarkan aktiviti ceramah boleh diadakan di 64 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai liputan internet rendah.

Beliau antara lain berkata, walaupun peraturan itu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), SOP itu turut dirangka oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas manakala Dr. Sim Kui Hian adalah individu bertanggungjawab menasihatkan JPBN dan kedua-duanya adalah daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“SOP berkaitan ceramah tidak dirangka dengan tujuan mengawal wabak, tetapi untuk memanipulasi pilihan raya demi keuntungan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Dengan melakukan itu, kerajaan GPS melalui JPBN, mengutamakan kepentingan politiknya berbanding nyawa dan kesihatan rakyat Sarawak.

“Persoalan saya kepada penasihat JPBN, apa yang telah anda nasihatkan kepada JPBN sehingga ia merangka SOP sedemikian yang tidak membantu dalam usaha membendung wabak?” soalnya dalam sidang akhbar di ibu pejabat DAP, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Chien Jen yang akan bertanding di DUN Padungan berkata, 64 daripada 82 kawasan di negeri ini mempunyai liputan internet yang lemah adalah bukti prestasi buruk GPS sepanjang mentadbir negeri sejak 50 tahun lalu.

Beliau turut memuji tindakan calonnya di Batu Kawah, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen yang sanggup ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat tergempar dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai varian baharu Omicron dan mengetepikan kempen pilihan rayanya demi kepentingan negara.

Walhal, Kui Hian sendiri yang merupakan individu penting dalam Kerajaan Negeri Sarawak tidak mengambil tindakan sama seperti Lee Wuen.

“Adakah beliau meletakkan kempen pilihan rayanya mengatasi kepentingan negara untuk melawan Omicron? Saya menggesa rakyat Sarawak melihat gambaran besarnya. Kita tidak mampu mempunyai kerajaan yang mengutamakan kepentingan politik berbanding kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya