30 kes hasutan dalam tiga bulan

30 kes hasutan dalam tiga bulan

Datuk M. Kumar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 30 kes disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula Januari hingga Mac lalu membabitkan perbuatan dan kenyataan berunsur hasutan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kes-kes itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 iaitu cuba melakukan perbuatan atau kenyataan terhadap institusi diraja, kaum, pentadbiran keadilan serta kerajaan.

Katanya, trend menunjukkan media sosial kerap dijadikan medan perdebatan bersifat provokatif dan berbaur hasutan sehingga mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat.

“Situasi ini bukan sahaja menjejaskan keharmonian dalam ruang siber, malah turut mewujudkan ekosistem tidak sihat serta ketegangan dalam kalangan masyarakat jika tidak dibendung melalui tindakan penguatkuasaan.

“Tindakan sedemikian jelas bertentangan dengan peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948, khususnya Seksyen 3 (1) (a) yang mentakrifkan kecenderungan menghasut sebagai perbuatan yang boleh mendatangkan kebencian atau penghinaan serta membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan, “ katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata, bagi kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) akta sama, individu yang disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi tujuan yang menyalahi undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×