KUALA LUMPUR : Pengurus wang bertauliah, Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan (DDNK) mendedahkan taktik sindiket penipuan yang menggunakan namanya sehingga mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit.
Selain menggunakan gambar, poster, slogan, petikan suara di radio dan bual bicara serta kandungan daripada laman sosial menurut Nazri mangsa juga dimanipulasi melalui kononnya pelaburan yang dibuat mampu mengaut keuntungan dalam tempoh yang singkat.
“Melibatkan hampir 100 mangsa dan jumlah keseluruhan juga bernilai hampir RM100,000. Modus operandi mereka amat licik dengan jaminan tidak masuk akal yang memberi pulangan 100 peratus dan modal berganda dalam beberapa hari saja.
“Sindiket itu juga menipu dengan tawaran tidak wujud menggunakan nama saya selain nama syarikat juga.
“Sekarang ini lebih mudah kerana mereka boleh mengumpan mangsa menerusi dalam talian dan hampir 100 mangsa datang kepada saya dengan mengemukakan bukti penipuan iaitu perbualan dan rakaman suara di aplikasi WhatsApp,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar berkaitan penyalahgunaan namanya oleh sindiket penipuan di ibu negara hari ini.
Menurut Nazri, masalah yang sudah berlarutan selama beberapa tahun ini semakin meruncing dalam tempoh pandemik Covid-19 memandangkan kebanyakan kelas sahamnya dilakukan secara atas talian.
“Kegiatan ini semakin serius sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kerana sebelum itu tidak terlalu agresif. Ramai mangsa adalah dalam kalangan mereka yang tidak sofistikated dan setakat ini lebih 100 individu dan syarikat dikesan menggunakan nama saya.
“Antara kesannya apabila keadaan ini tidak terkawal selain memburukkan reputasi, ramai yang sangsi dengan syarikat dan seminar saya.
“Saya sudah membuat beberapa laporan polis dan setakat ini belum ada tindakan dan saya mengharapkan kerjasama pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan terbabit kerana dikhuatiri menjadi barah kepada industri pelaburan jika dibiarkan,” katanya.
Beliau berharap, orang ramai lebih berwaspada dengan ancaman kegiatan sindiket penipuan pada era digital dan melabur menggunakan saluran yang betul supaya tidak menjadi mangsa.
Jelas Nazri yang terkenal melalui slogan ‘Tak hensem tak apa janji kaya’ menjadi keperluan untuk pelabur memastikan kesahihan sesebuah syarikat sebelum melaburkan wang.
“Syarikat kami tidak pernah meminta wang sebaliknya berusaha memberi pulangan. Kami juga tidak membuat panggilan bagi membuat tawaran sehingga pelabur membuka akaun.
“Sedih saya apabila ramai menjadi mangsa tetapi tidak dapat bantu mereka jadi menjelang tahun 2022, mari kita bersama memerangi sindiket penipuan,” katanya.
Nazri berkata, sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh didapati dan dikemaskini di Facebook rasminya, Dato’ Dr Nazri Khan malah sebarang pertanyaan boleh diajukan terus di ruangan mesej. – UTUSAN ONLINE










