Mansuh SPLKPM: Guru boleh fokus mengajar

Mansuh SPLKPM: Guru boleh fokus mengajar

AMINUDDIN AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemansuhan Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) adalah jalan terbaik bagi mengurangkan beban tugas harian guru agar mereka dapat memfokuskan kepada tanggungjawab mengajar.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, sistem tersebut selama ini telah menyebabkan guru berdepan tugasan bertindih akibat proses pengesahan kursus yang terlalu rumit dan memakan masa.

NUTP berpandangan bahawa sistem tersebut kurang efektif, menyukarkan guru, dan manfaatnya kepada warga pendidik tidak begitu jelas.

“Bayangkan bagi setiap kursus, seorang guru perlu membuat ketikan sebanyak dua belas kali, jika terdapat seratus guru dalam sebuah sekolah, jumlah ketikan sudah mencecah ribuan dan yang paling terkesan ialah guru yang menjadi Setiausaha Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) di sekolah.

“Malangnya, ketika usaha pertama sering gagal, sistem keluar ralat, perlu dimuat semula dan menunggu beberapa minit sebelum dapat diteruskan. Guru terpaksa menunggu berjam-jam hanya untuk mengesahkan latihan beberapa orang, menyebabkan tekanan dan keletihan.

“NUTP amat menghargai dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek atas keprihatinan terhadap permasalahan dan tekanan jiwa yang dihadapi guru akibat SPLKPM,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Aminuddin berkata, permasalahan sistem ini menimbulkan tekanan kerja serta memberi kesan kepada fokus pengajaran guru di sekolah.

“Sistem pula sering tergendala dan mengalami ralat. Keadaan ini menimbulkan tekanan, sakit kepala, malah meningkatkan risiko tekanan darah tinggi bagi sebahagian guru,” katanya.

Menurutnya, NUTP menyokong keputusan Kementerian Pendidikan yang memansuhkan sistem tersebut pada tahun hadapan sekali gus mengurangkan satu lagi bebanan kepada warga pendidik.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, SPLKPM yang dibangunkan untuk memudahkan urusan berkaitan latihan guru dan warga pendidik dimansuhkan pada tahun depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu akan memberi ruang kepercayaan sepenuhnya kepada guru.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN