Konsep IBS bantu atasi sekolah padat

Konsep IBS bantu atasi sekolah padat

FADHLINA Sidek pada Majlis Penyerahan Sekolah Baharu 20 Bilik Darjah, Asrama dan Kemudahan Lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin, Seberang Perai Tengah, semalam.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Projek pembinaan sekolah berkonsepkan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang mula dilaksanakan pada Mei lalu bukan sahaja membantu menyelesaikan isu sekolah padat khususnya di Lembah Klang, malah menjimatkan masa pembinaan.

Ini kerana kaedah IBS hanya mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan, berbanding pembinaan sekolah baharu secara konvensional yang lazimnya memakan masa sehingga lima tahun.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) yang dilaksanakan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) itu menunjukkan hasil positif apabila kebanyakan projek berjaya disiapkan dalam tempoh singkat.

“Sejak projek IBS dimulakan pada Mei lalu, sebanyak 20 sekolah baharu berkonsepkan IBS telah disiapkan sepenuhnya mengikut jadual,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Baharu 20 Bilik Darjah, Asrama dan Kemudahan Lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin, Seberang Perai Tengah, semalam.

Menurut beliau, sebenarnya di peringkat KPM dan JKR, projek itu telah bermula pada Mei lalu dan kebanyakannya telah siap 100 peratus.

“Alhamdulillah, ini antara pendekatan dan reformasi penting yang sedang berlaku di peringkat kementerian ketika ini.

“Saya melihat pembinaan ini memberi kesan langsung terhadap isu sekolah padat dan bagi saya, ia merupakan satu game changer atau pencetus perubahan dalam soal pembangunan infrastruktur pendidikan,” katanya.

Sebelum ini, KPM mengenal pasti sebanyak 121 sekolah padat di tujuh negeri yang memerlukan pembinaan bilik darjah tambahan bagi aliran perdana dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Antara kelebihan IBS ialah tempoh pembinaan yang jauh lebih cepat kerana blok baharu boleh disiapkan dalam beberapa bulan sahaja, selain mengurangkan gangguan di kawasan sekolah berikutan masa pemasangan di tapak yang lebih singkat.

Secara keseluruhan, penggunaan IBS membolehkan penambahan kapasiti dilakukan dengan segera, khususnya di kawasan berpenduduk padat seperti Lembah Klang.

Fadhlina berkata, sehingga kini, projek IBS melibatkan 127 pembinaan di seluruh negara, dengan 70 daripadanya tertumpu di Selangor iaitu negeri yang mencatatkan isu kepadatan sekolah paling tinggi.

“Kita melihat pendekatan ini sebagai yang paling efektif setakat ini dalam menangani isu sekolah padat.

“Insya-Allah, tahun hadapan, kita akan melaksanakannya secara lebih besar-besaran dan memastikan keseluruhan kelas dapat digunakan sepenuhnya sempena pembukaan sekolah baharu nanti,” katanya.

Sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek bilik darjah tambahan menggunakan teknologi IBS.

Sementara itu, Fadhlina mengumumkan pemansuhan Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) bermula 2026 sebagai langkah berterusan mengurangkan beban tugas guru.

Katanya, keputusan itu dibuat hasil penilaian berterusan terhadap beban kerja guru dan maklum balas warga pendidik yang berpandangan bahawa penggunaan sistem tersebut menjejaskan tumpuan terhadap tugas hakiki.

Beliau berkata, pelbagai intervensi telah dilaksanakan sebelum ini termasuk penambahbaikan Sistem Sahsiah Disiplin Murid, namun SPLKPM kekal menjadi antara isu utama yang dibangkitkan oleh guru.

“Hari ini, KPM mengumumkan SPLKPM dimansuhkan kerana ia memberi kesan langsung terhadap kebajikan dan beban tugas guru. Setiap langkah yang diambil adalah sebahagian daripada komitmen berterusan KPM untuk mengurangkan beban mereka,” katanya.

SPLKPM dibangunkan bagi menguruskan latihan guru, termasuk pendaftaran, rekod kursus dan pengurusan sijil secara dalam talian. Sistem itu sebelum ini dikenali sebagai e-SPLG sebelum ditambah baik dengan beberapa submodul baharu.

Fadhlina berkata, pemansuhan sistem tersebut memberi ruang kepada guru untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran di kelas, terutama menjelang pelaksanaan kurikulum baharu.

Menurutnya, KPM terus meneliti langkah tambahan bagi memastikan usaha mengurangkan beban tugas guru dapat dilaksanakan secara konsisten demi memperkukuh kualiti pendidikan negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN