LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Arne Slot menyifatkan kemenangan 2-0 Liverpool ke atas Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam hanyalah bernasib baik.
The Reds kembali menemui rentak kemenangan selepas prestasi hambar dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Mungkin kami berhak mendapat sedikit tuah ini, kerana mentaliti yang kami tunjukkan dan kecederaan serta perkara-perkara lain seperti itu,” katanya.
Penyerang Liverpool, Hugo Ekitike muncul wira The Reds apabila menjaringkan dua gol untuk meletakkan Liverpool dalam kedudukan selesa dalam carta Liga.
Mohamed Salah yang sebelum ini hanya menghangatkan bangku simpanan kembali beraksi serta mencatatkan bantuan gol dalam perlawanan itu.
Sebelum ini, masa depannya diragui susulan kritikannya yang pedas terhadap Slot dan kelab itu.
Dalam pada itu, Slot berkata, Salah sememangnya pemain yang sentiasa menjadi satu ancaman buat pasukan lain.
“Bola pertama yang disentuhnya, dia hampir membuat bantuan gol untuk (Alexis) Mac Allister. Menyenangkan untuk melihatnya tetapi tidak mengejutkan.
“Ia adalah keputusan yang mudah untuk memasukkannya ke dalam skuad. Saya telah mengatakan berkali-kali sebelum ini apa yang telah diperkatakan antara kami akan kekal di antara kami.
“Kami memerlukannya dan dia membantu untuk menjaringkan gol yang bagus untuk kami. Kami banyak kali buat keputusan yang salah dalam situasi bola mati musim ini,” katanya. – AGENSI/UTUSAN









