IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang membawa ayam segar ke dalam Dewan Selasa lalu, sekali lagi mencuri tumpuan selepas diarahkan keluar ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam.
Speaker DUN, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid mengeluarkan arahan itu setelah wakil rakyat PKR itu terus berucap walaupun diarahkan berhenti oleh Timbalan Speaker, Khalil Yahya.
Kekecohan bermula apabila Muhamad Arafat tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamhari mengenai kenaikan harga barang.
Disebabkan masa yang diberikan tamat, Abdul Yunus memberi jaminan menjawab soalan itu secara bertulis.
Bagaimanapun, Muhamad Arafat yang tetap tidak berpuas hati, terus berucap dan mendesak Abdul Yunus menjawab soalan-soalan yang dibangkitkannya dan mahu Exco itu meminta maaf kerana gagal memberi jawapan memuaskan.
Khalil, yang mengendalikan persidangan ketika itu memberi kata dua sama ada Muhamad Arafat mahu duduk atau keluar berehat di kantin dan ADUN PKR itu memilih terus kekal berada dalam Dewan.
Bagaimanapun, Mohamad Zahir yang masuk menggantikan Khalil kemudiannya terus membuat keputusan mengarahkan Muhamad Arafat keluar.
ADUN Hulu Kinta itu keluar Dewan sambil diiringi oleh Bentara.
Selasa lepas, Muhamad Arafat mengejutkan Dewan apabila membawa seekor ayam segar bagi menegur Razman Zakaria (Pas-Gunung Semanggol) yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri berikutan isu kenaikan harga barang ketika ini. – UTUSAN ONLINE