PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) terlebih dahulu sebelum bacaan kedua dan ketiga di Dewan Rakyat, Isnin ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, hal itu kerana untuk mengambil kira pandangan diberikan dan kepentingan kesihatan awam negara dengan pihaknya akan meneruskan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan dan meneliti semula RUU pindaan Akta 342.
Katanya, pemurnian ke atas pindaan bertujuan melindungi kepentingan rakyat agar tidak terbeban dengan nilai kompaun yang mungkin terlalu tinggi bagi sesetengah pihak dan pada masa yang sama menambah baik akta sedia ada untuk mencegah dan mengawal pandemik serta wabak dengan lebih berkesan.
“Justeru, mengambil kira pandangan yang diberikan dan kepentingan kesihatan awam negara, Kementerian Kesihatan akan meneruskan sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan dan meneliti semula RUU Pindaan Akta 342.
“RUU Pindaan Akta 342 seterusnya akan dibentangkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) pada Isnin, 20 Disember sebelum dibentangkan bacaan kedua dan ketiga di Dewan Rakyat pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Khairy memaklumkan beliau bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah adakan perbincangan lanjut bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seterusnya bersama Whip Kerajaan dan pihak Pembangkang berhubung pindaan Akta 342 itu.
Katanya, pada perbincangan tersebut, Ketua Pembangkang dan kedua-dua Whip kerajaan dan pembangkang bersetuju bahawa pindaan ini amat penting untuk membantu kerajaan menangani bukan sahaja pandemik Covid-19 tetapi juga pandemik-pandemik lain yang mungkin akan berlaku pada masa hadapan.
“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan juga mengambil maklum akan kebimbangan kedua-dua pihak dan keperluan untuk pindaan ini dimurnikan terlebih dahulu sebelum dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga,” katanya.
Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk tidak menyokong pindaan Akta 342 berikutan selepas RUU itu diperincikan secara keseluruhan, mendengar pandangan ahli-ahli Parlimen dan respon rakyat.
Hal ini kerana jumlah denda dan kompaun yang keterlaluan itu mungkin membuka ruang berlakunya salah guna kuasa, rasuah, serta amalan antara dua darjat.
Terdahulu, media melaporkan, pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu antaranya bagi menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu yang melakukan kesalahan di bawah rang undang-undang itu dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Mengikut rang undang-undang itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini. – UTUSAN ONLINE