RM48.52 juta diperuntuk Program Pembiayaan Mikro Penjaja dan Peniaga Kecil; RM25 juta transformasi pasar malam - Utusan Malaysia

RM48.52 juta diperuntuk Program Pembiayaan Mikro Penjaja dan Peniaga Kecil; RM25 juta transformasi pasar malam

ISMAIL Sabri Yaakob meninjau peniaga pasar malam sempena majlis sambutan HPPK 2021 dan Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memberikan peruntukan sebanyak RM48.52 juta bagi Program  Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil sebagai tanda komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui inisiatif itu, Keluarga Malaysia dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus daripada Bank Rakyat iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi menambah baik dan membangunkan semula perniagaan sedia ada.

Beliau berkata, pembiayaan yang dimohon boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan atau perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa, bil utiliti dan lain-lain.

“Tiada sebarang kadar keuntungan dikenakan ke atas penerima biaya, sebaliknya hanya kos pengurusan akan dikenakan sebanyak 1 peratus atas kutipan yang diterima.

“Nilai pembiayaan adalah antara RM10,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun. Jadi saya menyeru kepada Keluarga Malaysia untuk mengambil peluang yang ditawarkan ini bagi kelangsungan perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 (HPPK 2021) anjuran MEDAC dan Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, Program Transformasi Pasar Malam mengetengahkan pelbagai elemen norma baharu yang mementingkan komponen kesihatan dan keselamatan seperti penugasan ‘Marshal Pasar Malam’ bagi meningkatkan kembali keyakinan rakyat.

Untuk itu katanya, semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri diharap dapat mengadaptasi pendekatan Transformasi Pasar Malam ini di seluruh  negara kerana pasar malam merupakan satu medan kepada rakyat mendapatkan keperluan harian dengan mengurangkan peranan orang tengah.

Ismail Sabri turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM25 juta bagi pelaksanaan Transformasi Pasar Malam secara berperingkat di 50 tapak pasar malam utama di seluruh  negara mulai tahun depan.

“Kerajaan sentiasa komited dalam soal menjaga kebajikan rakyat untuk memastikan tidak ada yang tertinggal dalam mengecapi nikmat kemakmuran negara termasuk golongan penjaja dan peniaga kecil.

“Sebagai contoh, MEDAC menerusi TEKUN Nasional, menawarkan bantuan pembiayaan kepada golongan sektor informal di bawah program Pakej Niaga SPIN 2.0 pada Ogos lalu demi membantu usahawan yang baru memulakan perniagaan tanpa daftar perniagaan atau lesen perniagaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kelebihan program Pakej Niaga SPIN 2.0 tidak memerlukan pendaftaran dan akaun Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), menawarkan pakej niaga sehingga RM5,000, produk yang menarik dan margin keuntungan yang tinggi selain khidmat sokongan serta latihan jualan disediakan.

Kata beliau, kerajaan turut mempunyai agensi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai agensi baharu di bawah MEDAC, yang memfokuskan tentang usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan isi rumah di Malaysia yang sehingga kini memanfaatkan 349,410 ahlinya ataupun Sahabat AIM. 

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut meluluskan permohonan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya