TAPAH: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menyelar dakwaan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang menuduhnya sebagai punca kenaikan harga barang berikutan kekurangan tenaga kerja.
Menurut Saravanan, kenyataan Koo Ham itu tidak berasas kerana pengambilan pekerja asing dalam tempoh pandemik Covid-19 bukan perkara yang mudah untuk dilakukan sebaliknya perlu melalui pelbagai prosedur dan pertimbangan ketat.
Katanya, beliau perlu meneliti dan memperhalusi keadaan berkaitan kemasukan tenaga kerja asing di negara ini.
“Pengambilan pekerja asing dalam tempoh pandemik Covid-19 bukanlah perkara yang mudah kerana perlu melalui pelbagai prosedur.
“Dalam keadaan Covid-19, semua negara menutup sempadan dan saya pun tidak faham macam mana boleh bawa pekerja asing, tak kan dari langit ataupun magis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Ansonex Tapah di Tapah Road dekat sini hari ini.
Menurut Saravanan, walaupun berlaku pengurangan pekerja dalam sektor pengeluaran sebanyak 25 peratus berikutan Covid-19, kerajaan sudah membenarkan untuk membawa masuk pekerja asing di sektor perladangan.
“Tetapi kita kena lihat keadaan semasa Covid-19 terutamanya dengan kemunculan varian baharu di samping memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi. Terdapat juga negara-negara yang saya tidak boleh sebut memalsukan sijil vaksin dan saya kena pantau betul-betul bagi mereka yang masuk dengan sijil sah atau tidak,” katanya.
Saravanan menegaskan, kenaikan harga barang bukan hanya disebabkan kekurangan tenaga kerja seperti yang didakwa oleh Koo Ham sebaliknya terdapat beberapa faktor lain.
Menurut Saravanan, antaranya campur tangan orang tengah dan individu luar yang mahu menjual produk mereka di pasaran luar bagi mengejar keuntungan lebih terutamanya produk makanan yang mendapat permintaan tinggi akibat pandemik Covid-19.
“Ada juga orang tengah dan orang luar ingin jual produk mereka ke pasaran luar kerana mereka dapat untung lebih. Baru-baru ini ada beberapa pengeluar atau petani yang menanam tomato eksport ke Dubai sebab pulangan yang lebih banyak.
“Jadi ini semua menyumbang kepada kenaikan harga namun kerajaan sedang mengambil langkah untuk memastikan keadaan terkawal,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Koo Ham menuduh Saravanan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai punca masalah kekurangan tenaga kerja di negara ini hingga menyebabkan kenaikan harga barang.










