Produk rempah SUDEE, Maznah tembusi Eropah - Utusan Malaysia

Produk rempah SUDEE, Maznah tembusi Eropah

HASLINA Abdul Hamid (dua, kiri) ketika pelancaran pelepasan produk jenama SUDEE dan Maznah ke Eropah di Batu Caves, Selangor, semalam. – Ihsan FAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah berjaya membina bisnes lebih 20 tahun di Malaysia, jenama produk rempah terkenal tempatan, SUDEE dan Maznah mula menembusi pasaran benua Eropah pula.

Ia melibatkan sejumlah 787 karton keluaran World Prominence Sdn. Bhd. dengan bakal dijual melalui platform e-dagang di tiga negara dan rangkaian pasar raya terpilih di tiga negara lagi.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid, inisiatif itu hasil kejayaan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak yang berkaitan.

“Ini antara usaha kementerian bagi bantu lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan agromakanan untuk memasuki pasaran luas pelbagai negara Eropah,” katanya.

Terdahulu, beliau melancarkan acara pelepasan pengeksportan sulung produk syarikat yang beribu pejabat di Taman Perindustrian IKS Kawasan MIEL, Batu Caves itu dekat sini semalam.

Turut hadir sama ialah Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Zainal Abidin Yang Razalli serta pegawai kanan kementerian itu dan syarikat tersebut.

World Prominence Sdn. Bhd. ditubuhkan sejak 1997, antara usahawan bumiputera PKS yang menyertai program khas pembangunan eksport anjuran pihak kementerian itu melalui FAMA.

Hasil jalinan kerjasama padanan perniagaan dengan pemain industri luar negara, syarikat itu sudah menerima tempahan bernilai lebih RM200,000 untuk dijual di beberapa negara Eropah.

“Produk PKS ini dijangka tiba di benua itu dalam beberapa hari lagi sebelum bakal dipasarkan menerusi tiga wadah e-dagang yang ternama di Britain, Belanda dan Jerman,” kata Haslina.

Selain itu ujarnya, tiga operator jaringan pasar raya iaitu Wah Nam Hong di Belanda, Go Asia di Jerman dan One Asian di Switzerland juga bersetuju memasarkan dua jenama berkenaan.

Syarikat tersebut banyak mengeluarkan rempah masakan pracampur pelbagai variasi resipi asli tradisional, Barat, Korea dan sebagainya yang segar tanpa pengawet atau perasa tiruan.

Ia turut ditauliahkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di samping Titik Kawalan Kritikal dan Analisis Bahaya (HACCP) Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO).

Pejabat Perwakilan Pertanian kementerian itu di The Hague, Belanda juga membantu dalam mempergiatkan aktiviti penerokaan pasaran bagi melonjakkan nilai dagangan eksport produk.

“Sepanjang tahun ini, pelbagai promosi dibuat antaranya My Flavours Europe, Fruit Diplomacy serta Malaysia Food Week sama ada secara fizikal di premis dan atas talian,” jelas Haslina.

Pendekatan baharu itu tambahnya, selaras Rancangan Malaysia Ke-12 dengan ejen pemasar di luar negara yang dilantik bagi meningkatkan kesedaran dan permintaan pengguna Eropah.

Pada acara tersebut, beliau turut mengadakan sesi sidang video bersama para pengimport dari Jerman bagi membincangkan isu semasa dan peluang pemasaran produk PKS Malaysia. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya