KUALA LUMPUR: Wanita PKR bersedia memainkan peranan penting dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sama ada sebagai calon mahupun anggota jentera parti di peringkat akar umbi.
Ketuanya, Fadhlina Sidek berkata, fokus utama Pakatan Harapan (PH) ketika ini adalah memastikan calon terbaik diketengahkan bagi menjamin kemenangan dan seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, persiapan menghadapi PRN Johor sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak dalam gabungan PH.
“Wanita PKR akan memainkan peranan penting di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), tidak kira sebagai calon mahupun sebagai sebahagian daripada jentera di akar umbi.
“Tumpuan PH pada waktu ini adalah bagi memastikan calon terbaik boleh menang yang bakal memberi khidmat bakti kepada rakyat,” katanya selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini hari ini.
Kelmarin, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN Johor ke-16.
Susulan itu, PH Johor yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) memaklumkan akan meneruskan persiapan sedia ada, manakala perbincangan lanjut akan dibawa ke peringkat Majlis Presiden PH Pusat bagi merangka strategi dan langkah seterusnya menjelang PRN itu. – UTUSAN










