PRN SARAWAK: Manifesto PSB tawar jawatan ketua menteri, timbalan untuk setiap etnik - Utusan Malaysia

PRN SARAWAK: Manifesto PSB tawar jawatan ketua menteri, timbalan untuk setiap etnik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan memperuntukkan sekurang-kurangnya satu jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri kepada setiap kumpulan etnik utama di negeri itu jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, 18 Disember ini.

Etnik-etnik berkenaan meliputi Dayak, Melayu, Melanau, Cina dan sekumpulan pribumi minoriti.

PSB dalam manifestonya menyatakan, jawatan tersebut sama ada sebagai ketua menteri atau timbalan ketua menteri tanpa mengira latar belakang atau kedudukan politik bagi memastikan struktur kerajaan yang adil.

Dalam manifesto itu, satu jawatan ketua menteri dan empat timbalan ketua menteri akan diisi, manakala pelantikan menteri Kabinet penuh oleh ketua menteri hendaklah melalui rundingan dengan semua timbalan ketua menteri.

“Kabinet dan sektor awam akan diwakili secara adil dan secara merit bukan sahaja berdasarkan latar belakang etnik tetapi berdasarkan wilayah atau kawasan berbeza di seluruh negeri ini.

“Sebagai permulaan, kami akan membatalkan perwakilan kuasa daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kepada ketua menteri supaya benar-benar bebas,” menurut kandungan manifesto itu yang diperoleh Utusan Malaysia.

Selain itu, PSB melalui undang-undang bertulis akan menjadikan Sarawak sebagai negeri sekular yang akan memastikan kerajaan negeri atau parti politik tidak menggunakan agama dan etnik untuk menolak agenda, memperoleh dan menggunakan sebarang pengaruh politik.

Ini termasuk menentukan dasar kerajaan dan mengisytiharkan diskriminasi rakyat.

Manifesto itu antara lain menyatakan, PSB akan memasukkan peruntukan dalam perlembagaan negeri yang memerlukan persetujuan 90 peratus semua ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk sebarang pindaan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kami juga akan menuntut semula kuasa Perlembagaan Sarawak untuk mengawal selia penerokaan, pencarian dan perlombongan minyak dan semua sumber mineral dalam wilayah Sarawak dengan mencabar perlembagaan dan kesahihan Akta Pembangunan Petroleum 1974,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya