KUCHING: Seramai 23,043 pengundi akan memangkah calon pilihan mereka pada hari mengundi awal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak esok.
Jumlah itu terdiri daripada 12,585 anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) manakala 10,458 pengundi lagi meliputi anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan yang melibatkan 69 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, 85 pusat pengundian awal dengan 111 saluran akan dibuka mulai 7.30 pagi hingga 5 petang.
“Seramai 5,522 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk mengawal keselamatan serta memastikan proses pengundian awal esok berjalan dengan lancar.
“Pusat mengundi awal terdiri daripada dewan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu pejabat Daerah (IPD), rumah-rumah persatuan keluarga polis, pusat-pusat sumber, bilik rekreasi, bilik mesyuarat dan juga sekolah-sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, daripada 1,200 jumlah permohonan undi pos, sebanyak 708 permohonan telah diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) manakala 492 permohonan ditolak dan perlu hadir pada hari undi awal esok.
“Pecahan undi pos bagi 708 orang tersebut meliputi 415 orang yang menetap di Sarawak, 85 orang di Sabah dan 208 di Semenanjung.
Dalam pada itu, Mancha memaklumkan bahawa pihak polis telah mengeluarkan enam kompaun kepada pihak-pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) melibatkan kesalahan-kesalahan di bawah Akta 342 (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021), dengan kompaun terkumpul berjumlah RM31,000.
Katanya, polis telah membuka 39 kertas siasatan sejak 30 November lepas hingga semalam, di samping menerima 1,837 permohonan bagi mendapatkan permit polis untuk berkempen secara fizikal daripada parti serta calon-calon yang bertanding. – UTUSAN ONLINE