KUALA LUMPUR: Lelaki yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma pada Isnin lalu ditemukan di kawasan Kampung Sungai Kandis, Shah Alam, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, mengesahkan penemuan mayat lelaki berkenaan kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
Menurutnya, pihak polis akan mengadakan satu sidang media bagi memaklumkan butiran lanjut berhubung penemuan itu.
“Mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Kebombaan KebangsaanJabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengeluarlan mayat dari dalam sungai pukul 11.10 pagi.
Katanya, satu jentera dihantar ke lokasi pada pukul 11.21 pagi sebelum menemukan mayat lelaki berbangsa India berusia 37 tahun di kawasan perangkap sampah Sungai Kandis, Seksyen 36, Shah Alam, Selangor.
“Mayat tersebut telah dibawa keluar dari kawasan perangkap sampah dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak polis telah mengesahkan mayat yang ditemukan ialah mangsa yang telah dilaporkan hanyut di Sungai Klang semasa kejadian banjir di Pintasan Saloma,” katanya.
Isnin lalu, media melaporkan, seorang lelaki yang sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma, jam 5.40 petang semalam.
Kketika kejadian, terdapat 13 pekerja sedang bertugas di lokasi berkenaan yang mana 12 daripada mereka berjaya diselamatkan.
Mereka terdiri daripada tujuh warga Indonesia, Bangladesh (empat) dan seorang warga tempatan.
Susulan itu, lebih 200 anggota daripada pelbagai agensi terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).











