Polis sahkan dua pegawai SPRM ditahan kes rompakan RM700,000 - Utusan Malaysia

Polis sahkan dua pegawai SPRM ditahan kes rompakan RM700,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan melibatkan satu kes rompakan di ibu negara pada 10 Disember lalu. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, kedua-dua pegawai SPRM itu ditahan bagi membantu siasatan kes rompakan berkumpulan melibatkan kerugian RM700,000. 

Menurut Abd. Jalil, kedua-dua pegawai berusia 37 tahun dan 39 tahun itu ditahan reman empat hari sehingga Ahad. 

“Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan. 

“PDRM menyeru orang ramai supaya memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Tambahnya, kertas siasatan akan dikemukakan ke kamar Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat ini. 

Ahad lalu, SPRM mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes jenayah. 

SPRM dalam kenyataan menegaskan, agensi itu memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi mengesan pegawai terbabit. 

Sehari sebelumnya, media melaporkan  dua individu termasuk seorang pegawai agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit kes rompakan berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang, di sini membabitkan kerugian hampir RM1 juta.

Dalam kejadian pukul 12 tengah hari Jumaat lalu, tiga lelaki dikatakan memperkenal diri sebagai pegawai penguat kuasa sebuah agensi, memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan berusia 50-an, kononnya menjalankan siasatan terhadap mangsa.

Difahamkan, mereka menggeledah rumah dan meminta mangsa mengambil beg berisi wang tunai sebelum melarikan diri bersama beg berkenaan dengan menaiki sebuah kenderaan.

Selepas kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis yang kemudian berjaya menahan dua lelaki termasuk pegawai penguat kuasa, masing-masing berusia 30-an, manakala gerakan memburu seorang lagi suspek giat dijalankan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya