BEIJING: Strategi jangka panjang China dalam mempelbagaikan sumber tenaga dan membina stok simpanan membantu negara itu menghadapi gangguan akibat perang Iran, walaupun beberapa sektor masih berdepan cabaran besar, menurut beberapa penganalisis.
Menurut firma penyelidikan Kpler, China merupakan pengimport bersih minyak dan lebih separuh bekalan minyak mentah yang diangkut melalui lautnya datang dari Asia Barat tahun lalu.
Konflik yang tercetus susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran pada 28 Februari lalu menghentikan hampir semua penghantaran dari rantau Teluk selama enam minggu, dengan perjanjian gencatan senjata rapuh yang dicapai minggu ini dijangka tidak membawa pemulihan segera.
Namun, keutamaan berterusan Beijing terhadap keselamatan tenaga menjadikan negara itu lebih bersedia menghadapi kejutan sedemikian, kata penganalisis kepada AFP.
“Kebimbangan umum terhadap situasi geopolitik sejak beberapa tahun kebelakangan ini mendorong pemimpin China memastikan pembinaan kemudahan penyimpanan mencukupi serta penambahan rizab strategik.
“Usaha itu meletakkan China dalam kedudukan jauh lebih baik berbanding beberapa negara jiran Asia seperti Jepun dan Filipina, “ kata Penganalisis Minyak Kanan Kpler, Muyu Xu.
Namun, setakat ini, Beijing tidak tergesa-gesa untuk menggunakan rizab strategik yang besar itu.
STRATEGI BERKESAN
Situasi ini juga disokong oleh usaha berdekad lama China untuk mengurangkan kebergantungan kepada arang batu dan bahan api fosil tradisional.
Menurut Pengasas Bersama Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih, Lauri Myllyvirta, peralihan besar-besaran kepada tenaga boleh diperbaharui menjadikan China secara relatif berada dalam kedudukan baik untuk menghadapi keadaan semasa.
Katanya, kapasiti tenaga angin, solar dan nuklear telah ditambah di wilayah pesisir pantai yang padat penduduk, manakala infrastruktur grid yang dipertingkatkan menyalurkan tenaga dari kawasan pedalaman.
“Tanpa langkah ini, lebih banyak import minyak dan gas diperlukan untuk menjana tenaga di wilayah tersebut,” katanya.
Walaupun kebergantungan masih wujud, termasuk dalam sektor pembuatan besar, tenaga boleh diperbaharui banyak membantu mengurangkan tekanan.
Pengarah China Climate Hub di Institut Dasar Persatuan Asia, Li Shuo berkata, krisis tenaga semasa membuktikan keberkesanan strategi semua sumber tenaga yang diamalkan China.
Presiden Xi Jinping kini berusaha mempercepatkan pembangunan sistem tenaga baharu bagi menjamin keselamatan tenaga negara di tengah ketidaktentuan geopolitik.
CABARAN SEKTOR
Bagi China, risiko lebih besar bukan kejutan tenaga segera tetapi kemungkinan kemerosotan ekonomi global akibat konflik tersebut.
Beberapa sektor dijangka terkesan, termasuk kilang penapisan minyak kecil swasta dikenali sebagai ‘teapot’, yang sebelum ini bergantung kepada minyak mentah Iran dan Venezuela pada harga diskaun.
Kehilangan bekalan dari Iran boleh menjejaskan operasi ini, yang kebanyakannya tertumpu di wilayah Shandong.
SELAT HORMUZ
Selain itu, industri semikonduktor juga berdepan cabaran apabila Selat Hormuz masih terjejas. Qatar, pembekal utama helium yang penting untuk pembuatan cip, turut terkesan.
Industri kimia juga dijangka menghadapi tekanan akibat gangguan tersebut, walaupun pada peringkat nasional kesannya masih boleh dikawal melalui langkah awal yang diambil pihak berkepentingan.
PULIH
Sementara itu di Arab Saudi, kementerian tenaga negara itu pada Ahad memaklumkan saluran paip minyak utama timur-barat serta kemudahan lain telah dipulihkan selepas serangan Iran di rantau Teluk.
Menurut agensi berita rasmi Saudi Press Agency, kemudahan tenaga yang rosak kini kembali beroperasi sepenuhnya, meningkatkan bekalan.
Sebelum gencatan senjata rapuh selama dua minggu antara Iran dan AS bermula pada Selasa lalu, Teheran menyasarkan infrastruktur tenaga kritikal negara jiran yang kaya minyak.
Arab Saudi berkata, kerja teknikal berjaya memulihkan kapasiti penuh pengepaman melalui saluran paip timur-barat kepada kira-kira tujuh juta tong sehari.
Sebelum ini, serangan tersebut menyebabkan kehilangan sekitar 700,000 tong sehari kapasiti pengepaman.
Kemudahan minyak utama termasuk di Manifa dan Khurais turut terjejas, namun kini sedang dipulihkan sepenuhnya.
Rangkaian saluran paip Petroline menjadi talian hayat ekonomi ketika perang, menghubungkan Laut Merah di barat dengan Teluk di timur, ketika Iran menutup laluan strategik Selat Hormuz.
Kemudahan di Riyadh, Wilayah Timur dan bandar industri Yanbu serta infrastruktur pengeluaran, pengangkutan, penapisan minyak sserta gas turut menjadi sasaran serangan.
Arab Saudi mengesahkan serangan berterusan selama beberapa minggu itu menjejaskan kapasiti pengeluaran minyak dan mengorbankan sekurang-kurangnya satu nyawa, menjadikan jumlah korban di negara itu kepada tiga orang sejak perang bermula. – AFP










