Al Taj luaskan pasaran domestik dan global

Al Taj luaskan pasaran domestik dan global

TAJUL Ariffin Abdullah menunjukkan produk yang berada di bawah rangkaian Al Taj.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Al Taj Food Marketing & Services Sdn. Bhd. terus memperkukuh kedudukan dalam segmen halal dengan menawarkan rangkaian produk yang diyakini, sekali gus memperluaskan akses ke pasaran domestik dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tajul Ariffin Abdullah berkata, syarikat itu memperluaskan rangkaian pengedaran ke pelbagai saluran termasuk pasar raya utama dan segmen hotel, restoran dan katering (HORECA).

Menurutnya, Al Taj turut mempelbagaikan strategi perniagaan melalui pendekatan perniagaan ke perniagaan (B2B) yang melibatkan kerjasama dengan pengedar, pasar raya besar, hotel, restoran serta penyedia katering dalam penerbangan.

“Selain itu, syarikat juga menjalankan pendekatan perniagaan kepada pengguna (B2C) menerusi rangkaian ejen, jualan kepada individu serta kerjasama dengan peruncit kecil bagi memperluaskan capaian produk kepada pengguna akhir.

“Kami telah memasuki pasar raya besar seperti Mydin dan AEON, selain stesen minyak seperti kedai Mesra Petronas, kios, kafe, dapur barat (western kitchen) dan perkhidmatan makanan segera.

“Kami juga memperkukuh usaha pemasaran produk menerusi penubuhan unit pemasaran aktif yang menyertai pelbagai karnival anjuran kerajaan dan persatuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pendekatan menyeluruh itu dilihat mampu memperkukuh kedudukan Al Taj dalam industri makanan halal serta meningkatkan akses produk ke pelbagai segmen pasaran.

Dalam pada itu, Tajul Ariffin berkata, syarikat memperoleh sijil halal pertama pada 2018 dan telah melalui empat kitaran pembaharuan, sekali gus menjadi antara tonggak utama keyakinan pengguna terhadap produk keluaran syarikat.

“Bagi kami, isu halal perlu dipandang serius dan dijadikan kewajipan dalam menyediakan makanan halal dan baik, bukan sahaja untuk umat Islam tetapi juga bukan Islam.

“Sijil halal bukan sekadar dokumen, sebaliknya mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan setiap proses pengeluaran dipatuhi mengikut syariat dan diamalkan secara konsisten dalam operasi harian.

“Halal itu satu amalan. Ia perlu dipraktikkan dan dibuktikan dalam setiap aspek operasi syarikat, bukan sekadar di atas kertas,” katanya.

Mengulas cabaran, beliau berkata, komitmen tinggi dan amalan berterusan menjadi antara faktor utama dalam memperoleh serta mengekalkan pensijilan halal, selain keperluan mematuhi piawaian ketat yang ditetapkan.

“Memiliki sijil halal memberi kelebihan besar kepada syarikat dalam meningkatkan keyakinan pengguna serta membuka lebih banyak peluang pasaran, termasuk di peringkat global.

“Keyakinan syarikat akan lebih tinggi untuk menembusi pasaran tempatan dan luar negara. 

“Pengguna juga cenderung memilih produk yang mempunyai sijil halal kerana diyakini kesucian dan proses penghasilannya menepati syariat.

“Dengan kekuatan halal, syarikat bukan sahaja berupaya memperkukuh jenama, malah mampu bersaing lebih kukuh dalam industri makanan yang semakin kompetitif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×