Permintaan Musang King di Belanda enam kali ganda - Utusan Malaysia

Permintaan Musang King di Belanda enam kali ganda

PENGUNJUNG pasar raya Amazing Oriental kelihatan berebut membeli produk durian dari Malaysia menerusi Program Taste of Malaysia. – IHSAN MAFI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program Taste of Malaysia (TOM) menerusi sebuah rangkaian pasar raya di Belanda berjaya melonjakkan jualan durian negara ini sehingga 228 peratus pada bulan lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, rekod luar biasa itu dicatatkan ketika promosi tersebut yang berlangsung dari 10 sehingga 23 November lepas.

“Berdasarkan laporan dikeluarkan pihak pasar raya itu, secara keseluruhan ada peningkatan jualan amat memberangsangkan berbanding tanpa usaha promosi. Ia hasil inisiatif Pejabat Perwakilan Pertanian serta Kedutaan Besar Malaysia di The Hague dengan pihak Tourism Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.

“Program itu turut mendapat kerjasama jaringan pasar raya terbesar Asia di Belanda, Amazing Oriental yang memiliki 21 cawangan di negara Eropah tersebut sejak ditubuhkan pada 1986. Inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna mengenai produk Malaysia selain mempromosikan durian dan makanan yang berasaskan buah itu di negara berkenaan,” jelas kementerian itu.

Mengulas lanjut, kementerian itu berkata, program turut menyaksikan permintaan tinggi isi buah durian sejuk beku jenis Musang King hingga enam kali ganda berbanding tanpa promosi manakala buah durian sejuk beku pula mencatatkan jualan sehingga tiga kali ganda manakala produk yang berasaskan durian menerima sambutan 50 peratus lebih tinggi.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, potensi pasaran produk pertanian di Eropah amat luas namun aspek keselamatan makanan perlu diutamakan penjual dan pihak Kesatuan Eropah (EU) memberi perhatian serius aspek kelestarian, pensijilan, pembungkusan dan pelabelan melalui pelbagai dasar ketat berkaitan sejak sekian lama lalu.

Bagaimanapun, beliau optimis bahawa lebih banyak produk Malaysia akan dapat menembusi pasaran Eropah melalui nasihat dan sokongan pihak kementerian dan agensi di bawahnya.

Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Nadzirah Osman yang merasmikan program TOM turut yakin jalinan kerjasama strategik amat diperlukan bagi membawa masuk produk negara kita.

“Terdapat banyak kemudahan logistik seperti pelabuhan terbesar di benua ini, Rotterdam yang juga pintu masuk utama perdagangan dengan EU serta banyak negara Eropah lain. Pejabat Perwakilan Pertanian di The Hague meliputi pasaran serantau 33 negara termasuk Britain, Rusia, 27 negara anggota EU serta empat negara Persatuan Dagangan Bebas Eropah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.