Perlis digesa ikut jejak Kedah haramkan kedai nombor ekor, arak - Utusan Malaysia

Perlis digesa ikut jejak Kedah haramkan kedai nombor ekor, arak

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis digesa mengikut jejak langkah Kedah untuk tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri ini bagi membendung gejala sosial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd. Shukri Ramli berkata, kebanyakan perkara-perkara yang menyebabkan masalah sosial di negeri ini adalah disebabkan oleh perkara yang lalai dan memabukkan itu.

Katanya, perkara yang boleh merosakkan institusi keluarga itu seharusnya dihapuskan semaksimum boleh.

“Kita boleh mengambil contoh apa yang dilakukan di Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk dilaksanakan di Perlis. Ini kerana, dibimbangi apabila Kedah mengharamkan judi, mereka akan melimpah ke negeri ini pula untuk tujuan tersebut.

“Sudah lama saya perjuangkan perkara ini sejak menjadi ADUN pada 2013. Memang terdapat perubahan yang positif dengan jumlah kedai judi yang berkurangan tetapi kita boleh buat lebih agresif lagi.

“Selain itu, terdapat juga aktiviti judi haram yang aktif dan ada sesetengahnya di jual di rumah. Malah ada juga beberapa kedai di DUN saya sendiri yang menjual tanpa lesen,” katanya ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kerajaan negeri melihat premis perjudian berlesen dan penjualan arak tidak mendatangkan masalah di negeri ini ketika ini.

Katanya, premis menjual arak di negeri ini juga terhad dan merupakan tempat yang dikunjungi oleh orang bukan Islam sahaja.

“Jika ada kesan negatif, ia akan ada justifikasi untuk kita melakukan tindakan lanjut. Namun, pada masa ini dilihat tiada masalah dan tidak perlu dikacau.

“Apa yang lebih penting adalah nilai-nilai yang ditanam dalam diri dan seseorang itu harus mengawal dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN