Perak bentang Belanjawan 2022 RM1.1b - Utusan Malaysia

Perak bentang Belanjawan 2022 RM1.1b

SAARANI Mohamad (tengah) dan exco kerajaan negeri menunjukkan buku Belanjawan 2022 Negeri Perak sebelum membentangkannya pada sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - IHSAN URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Belanjawan 2022 Perak dianggarkan RM1.1 bilion dengan RM803 juta untuk belanja mengurus manakala RM302 juta lagi untuk pembangunan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, belanjawan itu dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan RM1.06 bilion.

Menurutnya, daripada unjuran hasil dan perbelanjaan, Belanjawan 2022 Perak dicadangkan sebagai belanjawan defisit RM50 juta.

“Belanja mengurus terdiri daripada perbelanjaan emolumen RM390.2 juta, perkhidmatan dan bekalan RM296.3 juta, pembelian aset RM7.2 juta, pemberian dan kenaan bayaran tetap RM102.7 juta serta lain-lain perbelanjaan RM6.6 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.

Menurut Saarani, bagi mengukuhkan strategi merancakkan semula ekonomi negeri, dana pembangunan tambahan melalui Kumpulan Wang Amanah berjumlah RM47 juta telah disediakan.

Beliau berkata, dana itu akan digunakan untuk membiayai Pakej Rangsangan Ekonomi Perak Sejahtera (PRE Perak Sejahtera).

“Sehubungan itu, jumlah keseluruhan peruntukan dan dana bagi maksud pembangunan negeri pada tahun hadapan adalah RM349 juta,” tambahnya.

Beliau berkata, Belanjawan 2022 Perak juga akan didukung oleh komitmen kewangan oleh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) untuk terlibat secara langsung dalam program-program kesejahteraan rakyat termasuk dalam bidang pendidikan, pertanian dan keusahawanan.

“Dalam situasi rakyat berdepan waktu-waktu sukar untuk bangkit daripada krisis kesihatan yang hampir dua tahun menghimpit kehidupan, peranan GLC sangat diperlukan supaya keuntungan yang dijana dapat dikongsi demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Kata Saarani, bagi tahun 2022, kerajaan negeri menetapkan lima fokus utama dalam memastikan kedudukan kewangan negeri kekal teguh untuk mengharungi bulan-bulan mendatang yang ketidaktentuan tanpa mengabaikan tanggungjawab memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap terpelihara.

Katanya, lima fokus itu ialah menjana semula ekonomi dan mengupayakan sara diri rakyat; memakmur dan mensejahterakan rakyat; mengukuhkan modal insan dan pembangunan sosial; memantapkan tadbir urus dan pendigitalan dan memulihara khazanah alam sekitar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN