Pengalaman mangsa banjir hampir dipatuk ular demi keluarga - Utusan Malaysia

Pengalaman mangsa banjir hampir dipatuk ular demi keluarga

MOHAMED Shahrul Mohamed Shahril (depan kiri) bersama ahli keluarganya yang menghadapi saat cemas ketika banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam baru-baru ini semasa menghadapi majlis perkahwinan di Teluk Intan. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor baru-baru ini masih tidak dapat melupakan detik cemas ketika menghadapi bencana alam itu.

Mohamed Shahrul Mohamed Shahril, 37, masih mengingati bagaimana dia nekad meredah air banjir sedalam paras leher demi untuk melihat keadaan ahli keluarganya yang tinggal di tingkat dua Flat PKNS di taman perumahan tersebut.

Katanya, ahli keluarganya terdiri daripada isteri dan anaknya yang berumur empat tahun, ibu dan bapanya serta empat adik beradiknya.

Menurutnya, akibat banjir, ahli keluarganya tidak dapat keluar untuk ke tempat yang lebih tinggi akibat terkepung air banjir.

Katanya, ketika banjir dia baru sahaja habis dari bekerja di Hicom, Shah Alam.

“Apabila banjir sudah melanda Taman Sri Muda, saya cuba menghubungi isteri saya, namun, panggilan telefon saya tidak dijawab. Saya bimbangkan keselamatan mereka kerana saya dapat tahu air naik sehingga tingkat dua flat yang kami diami.

“Kerana tiada cara lain, saya nekad meredah air banjir yang ketika itu sudah mencecah paras leher untuk ke rumah.

“Ketika itu, waktu malam menyebabkan saya hanya berpandukan lampu daripada bot penyelamat untuk mencari arah ke rumah saya.

“Saya meredah banjir hanya berpandukan jejak kaki yang terkena jalan tar dan ketika itu saya terpijak ular dan reptilia itu kemudiannya timbul di depan muka saya, namun saya sempat mengelak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia ketika menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di sini semalam.

Menurutnya, dia bersyukur kerana akhirnya dapat menemui ahli keluarganya dan lega kerana semuanya selamat walaupun air naik sehingga tingkat dua di bangunan flat setinggi tujuh tingkat itu.

Katanya, saat mengharungi banjir untuk bertemu ahli keluarganya dirasakan saat yang paling panjang dalam hidupnya.

“Ketika itu, saya tertanya-tanya bagaimana keadaan mereka. Syukur mereka semuanya selamat walaupun dalam keadaan lapar dan dahaga, mujur saya ada membawa sedikit
alas perut sementara menantikan pasukan penyelamat,” katanya.

Menurutnya, bencana alam yang tidak diduga itu menyebabkan dia bersedia jika ia berlaku lagi.

“Kami sudah bersiap sedia untuk pindah ke tempat lain di kawasan lebih tinggi jika berlaku banjir gelombang banjir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya