PETALING JAYA: Tindakan pemandu Bezza menyondol kereta hadapan mengundang kecaman kerana pemandu tersebut cuba untuk berdolak-dalih dengan menyalahkan kereta hadapan semasa dihubungi pihak polis.
Insiden itu dirakam menerusi dashcam pemilik sebuah kereta yang terlibat dan kejadian tersebut berlaku di sebuah lebuh raya dari Johor Bahru menuju Kuala Lumpur.
Paling malang, pemandu tidak bertanggungjawab tersebut memecut kenderaannya untuk meninggalkan tempat kejadian selepas meremukkan bahagian belakang kenderaan hadapan.
Pemilik kereta yang menyiarkan klip rakaman tersebut di aplikasi Tiktok, chelladean menasihati pengguna-pengguna laman sosial itu untuk supaya berhati-hati semasa memandu kerana terdapat banyak ‘samseng’ memandu di lebuh raya pada masa kini.
“Harap semua yang tengok video ni tak kena macam saya. Beringat sebelum terkena, ramai orang jahat di jalanan sekarang. Semua nak tunjuk samseng,” tulisnya di ruangan komen.
Rata-rata pengguna yang melihat klip rakaman tersebut meluahkan perasaan marah dan meminta pemandu-pemandu lain memasang kamera di belah hadapan serta belakang kereta mereka supaya dapat menyimpan bukti jika insiden ini berlaku kepada mereka.
“Fuh memang zaman sekarang kena ada kamera baik motor atau kereta. Bahaya zaman fitnah ni. Dia tak mengaku dia salah boleh bawa kes ke mahkamah ni haha buat duit,” komen boyot7240.
“Apa lagi kasi habis dia punya insurans…saman jangan kasi rendah…orang macam ni tak payah kasi peluang, dah buat tak nak mengaku. Bukannya minta maaf,” komen yeop1981.
“Memang patut kena guna kamera depan belakang la kan…banyak kes dah jenis tak nak mengaku macam ni,” komen ismi_hannahanissa.
“Benda yang paling saya takut…kereta tak apa lagi, tapi nyawa dalam kereta tu. Kalau ada anak-anak saya tak boleh terima,” komen najwapinklady.










