[PARLIMEN] Azalina: ‘Usul saya pun banyak kali ditolak’ - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Azalina: ‘Usul saya pun banyak kali ditolak’

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Seorang Ahli Parlimen Pembangkang menyifatkan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat menolak usul membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan adalah tidak adil.

Perkara itu dibangkitkan Sivarasa Rasiah (PH-Sungai Buloh) dalam Dewan Rakyat ketika Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) mempengerusikan majlis.

“Saya tidak boleh putuskan, tetapi dalam peraturan Yang Berhormat boleh rayu kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Speaker. Saya cukup simpati ya. Usul saya pun banyak kali tolak Yang Berhormat.

“Cuma untuk sekarang, tidak ada dalam jadual dan saya tak boleh buat keputusan sebab surat ini pun orang yang berkenaan sahaja yang boleh overall kepada keputusan iaitu Yang Berhormat Tan Sri Speaker.

“Keduanya Yang Berhormat. saya simpati dan saya cadang mungkin dalam memorandum persefahaman (MoU), Yang Berhormat boleh letaklah, peraturan mesyuarat buat pindaan dan sebagainya. Itu pandangan saya secara peribadi,” katanya.

Semalam, Sivarasa dalam sidang media mendakwa terdapat dua dokumen yang didedahkan bahawa Azam memiliki hampir dua juta saham dan menggunakan adik beliau, Nasir Baki sebagai proksi.

“Kami mendapat maklumat pada tahun 2015 hingga 2016, beliau memiliki hampir dua juta saham yang mana sudah terang bahawa ada rang undang-undang berkaitan pegawai awam menyatakan pegawai awam tidak boleh memiliki mana-mana saham lebih RM100,000.

“Maklumat tersebut menyatakan nilai keseluruhan saham berjumlah RM4.2 juta dengan adiknya Nasir Baki turut memiliki beberapa peratus saham tersebut,” katanya.

Berikutan itu, Sivarasa meminta Tan Sri Azhar Azizan Harun mempertimbang usul supaya perkara itu boleh dibawa ke Parlimen seterusnya menjadi medan semak dan imbang.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN