Lambakan kereta kereta terpakai, pengusaha terhimpit

Lambakan kereta terpakai, pengusaha terhimpit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri kereta terpakai semakin terhimpit apabila lambakan kenderaan yang tidak terjual memperlihatkan tekanan sebenar pasaran, lantas memaksa para pengusaha bergelut untuk terus bertahan.

Kemasukan agresif kenderaan baharu, khususnya dalam segmen kenderaan elektrik (EV) dari China, dilihat menggugat keseimbangan pasaran sedia ada apabila pelbagai insentif menarik ditawarkan kepada pengguna termasuk penyelenggaraan percuma dan rebat tidak masuk akal.

Perkembangan itu bukan sahaja mengubah landskap industri automotif, malah secara langsung menekan segmen kereta terpakai yang kini berdepan penyusutan permintaan ketara.

Perubahan corak pembelian pengguna yang semakin cenderung kepada kenderaan baharu dengan teknologi terkini dan reka bentuk moden turut mempercepatkan kemerosotan minat terhadap kereta terpakai.

Seorang pengusaha, Lew Hon Meng, 52, berkata, situasi semasa menyaksikan industri berada pada tahap membimbangkan dengan kejatuhan jualan yang ketara.

Dia yang mengusahakan galeri jualan di Subang dekat sini sejak dua dekad lalu mengakui, perniagaannya sekadar mampu bertahan dalam keadaan pasaran tidak menentu.

“Jualan kenderaan terpakai berada dalam keadaan sangat teruk untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini. Pendapatan hasil jualan kereta jatuh 40 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Biarpun ada sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dan juga Hari Raya Aidilfitri, minat dan kuasa membeli dalam kalangan rakyat sangat-sangat berkurangan, jauh berbeza berbanding tahun lalu.

“Malah, dengan keadaan ekonomi yang semakin membimbangkan dan tidak menentu, terutama impak daripada perang antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran, rakyat lebih mengambil pendekatan untuk berjimat dan tidak melihat keperluan untuk membeli kereta sebagai perkara yang menjadi keutamaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Hon Meng berkata, daya tarikan kenderaan baharu yang disokong strategi promosi agresif pengeluar menyebabkan kereta terpakai semakin dipinggirkan dalam pertimbangan pengguna.

“Siapa mahu beli kereta terpakai lagi apabila syarikat yang menjual kenderaan baharu memberikan diskaun hingga 10 peratus, dengan pengurangan antara RM10,000 hingga RM20,000? Malah, ada yang bersaing sesama mereka dengan pelbagai promosi.

“Ada kenderaan terpakai di kedai saya yang sudah berusia lima hingga enam tahun, namun masih tidak terjual,” katanya.

Seorang lagi pengusaha, Nicholas Dass Jun Hou berkata, tekanan sama turut dirasai apabila jualannya merosot lebih 30 peratus dalam tempoh sama.

Menurutnya, faktor bermusim bukan lagi penyumbang utama, sebaliknya tekanan kos sara hidup dan kekangan kewangan pengguna menjadi penentu utama pasaran.

“Malah, kenaikan berterusan harga diesel juga menjejaskan penjualan kenderaan komersial terpakai yang ketika ini langsung tidak bergerak.

“Dalam setahun dua ini juga kita lihat persaingan EV dari China yang menawarkan harga pada kadar antara RM100,000 hingga RM150,000, selain EV mampu milik oleh Proton yang membuatkan pembeli lebih memilih untuk membeli kenderaan baharu berbanding kereta terpakai berjenama seperti Honda Civic dan Honda City,” katanya.

Nicholas berkata, meskipun pelbagai saluran digital digunakan termasuk platform jualan dalam talian dan media sosial, impaknya tidak mampu memulihkan prestasi jualan.

“Hasil jualan masih lagi jatuh dan kita terpaksa mencari jalan untuk meneruskan usaha sendiri, menggunakan pelbagai cara di media sosial termasuk memanfaatkan platform TikTok, Instagram dan Threads,” katanya.

Katanya, akses pembiayaan yang semakin ketat menjadi antara faktor paling menekan industri ketika ini.

“Dalam keadaan sekarang, ramai pelanggan sukar untuk mendapatkan pinjaman pembelian kenderaan.

“Masalah paling besar bagi pelanggan kami yang kebanyakannya dalam golongan B40 ialah permohonan pinjaman mereka banyak ditolak kerana komitmen terhadap platform ‘beli dulu, bayar kemudian’ (BNPL).

“Kita juga tidak mahu perniagaan terus terjejas, jadi harap ada pertimbangan daripada pihak berkaitan dalam memudahkan urusan meluluskan pinjaman kepada pelanggan,” katanya.

TRANSAKSI 400,000 UNIT SETAHUN

Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM), Datuk Tony Khor mengakui, terdapat sedikit kelembapan pasaran, namun menegaskan industri itu masih memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.

“Jumlah transaksi kenderaan terpakai tempatan dianggarkan sekitar 400,000 unit setahun manakala tambahan kira-kira 50,000 unit kenderaan terpakai import (recond) direkodkan setiap tahun.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan transaksi kenderaan terpakai sekitar 450,000 unit setahun yang memainkan peranan penting dalam menyokong mobiliti rakyat serta ekonomi negara,” katanya.

Tony optimis terhadap prospek 2026 dengan menegaskan faktor harga masih menjadi kelebihan utama segmen tersebut.

“Dalam keadaan ekonomi semasa, ramai pengguna menjadi lebih berhati-hati dalam perbelanjaan dan cenderung memilih kenderaan yang lebih praktikal serta berpatutan.

“Kereta terpakai masih menjadi pilihan penting bagi ramai rakyat Malaysia, khususnya golongan muda dan keluarga yang ingin memiliki kenderaan pada kos yang lebih rendah,” katanya.

TEKANAN BERGANDA INDUSTRI

Dalam pada itu, penganalisis automotif, Hezeri Samsuri berpandangan, industri kereta terpakai berdepan tekanan berganda daripada persaingan kenderaan baharu dan kekangan sistem pembiayaan.

“Sebab kenderaan baharu sekarang terlalu mudah untuk mendapat kelulusan pinjaman bank dan boleh dibeli tanpa perlu mengeluarkan wang pendahuluan.

“Berbeza dengan kereta terpakai yang tiada ‘zero down payment’, yang masih menetapkan pembeli perlu membayar wang pendahuluan serta pelbagai bayaran lain yang berkaitan.

“Pandangan saya, jika pengusaha industri kereta terpakai ini hendak terus hidup dan bertahan dalam suasana mencabar sekarang, mereka perlu mengurangkan harga jualan dan margin keuntungan mereka,” katanya.

Hezeri turut menarik perhatian kepada perubahan struktur pasaran, termasuk usaha mengeksport kenderaan terpakai ke luar negara yang berpotensi mengubah rantaian bekalan industri.

“Tidak dinafikan ada beberapa jenama kenderaan luar yang jatuh teruk harganya ketika ini. Namun, bagi kebanyakan pengusaha kenderaan terpakai, mereka yang menentukan sendiri harga kereta yang hendak dijual,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN