Amirul mahu jadi komando seperti bapanya

Amirul mahu jadi komando seperti bapanya

MUHAMMAD Afham Hafidz (tengah) menunjukkan gambar kenangannya bersama Allahyarham Muhammad Amirul Raziq ketika ditemui di Masjid Kariah Felda Sungai Kelamah, Gemas di Tampin, hari ini.- UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi yang meninggal dunia pagi tadi memang bercita-cita mahu menjadi seorang komando seperti bapanya.

Rakannya, Muhammad Afham Hafidz, 24, berkata, perkara itu dinyatakan Allahyarham ketika mereka bersama-sama menuntut di Kolej Vokasional Port Dickson sebelum ini.

“Dia bukan seorang yang pemarah. Kami rapat sejak belajar di di kolej vokasional lagi, malah pernah tinggal sebilik.

“Sejak awal lagi dia memang minat jadi askar dan pernah menyatakan hasrat untuk mengikut jejak langkah bapanya sebagai anggota komando,” katanya ketika ditemui di Masjid Kariah Felda Sungai Kelamah, Gemas, di sini hari ini.

Jenazah Allahyarham dijangka tiba di Masjid Kariah Felda Sungai Kelamah kira-kira pukul 2 pagi nanti dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang sebelum dikebemikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan.

Hari ini media melaporkan, Muhammad Amirul Raziq, 24, yang parah akibat dipukul di Kem Tentera Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Bentong, Pahang disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.45 pagi ketika menerima rawatan di hospital.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas dipercayai dipukul oleh seorang anggota berpangkat koperal dalam kejadian pada 31 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai memukul, menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan.

Polis kini membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek berusia 37 tahun yang sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 Parlimen Jelebu berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan jenayah dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut lunas undang-undang.

“Tindakan disiplin tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi melibatkan penderaan fizikal. Semua pihak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan tidak menggunakan kaedah di luar garis panduan sedia ada,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN